Nursyahirah Marzuki


KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan memantau tahap kesihatan dua kanak-kanak perempuan yang digigit anjing peliharaan mereka di Kuala Sepetang, Taiping, Perak dalam tempoh dua hingga tiga bulan bagi memastikan mereka bebas rabies.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, sehingga kini kedua-dua kanak-kanak itu berada dalam keadaan sihat.

"Walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang tanda klinikal dan berada dalam keadaan stabil, namun kita perlu membuat pemerhatian serta pemeriksaan dari semasa ke semasa.

"Ini kerana, jika kita lihat kembali kes yang positif virus rabies (anjing gila), semuanya dapat dikesan selepas digigit dalam tempoh dua hingga tiga bulan," katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM), Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Subramaniam berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengenai punca anjing di Kuala Sepetang itu dijangkiti virus rabies.

"Kes di Kuala Sepetang adalah luar biasa dan saya yakin JPV ketika ini sedang menjalankan pemeriksaan dan tindakan susulan untuk mencari punca anjing berkenaan dijangkiti wabak rabies," katanya.

Isnin lalu, media melaporkan JPV mengesahkan anjing bertuan yang menggigit dua kanak-kanak perempuan di Kuala Sepetang, positif rabies.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dilaporkan berkata, anjing itu mati selepas lapan hari menggigit kanak-kanak berusia 11 tahun iaitu anak pemilik haiwan berkenaan dan anak saudara tuannya yang berusia 12 tahun.

Beliau berkata, anjing berusia dua tahun yang dipelihara sejak kecil itu menggigit anak tuannya pada 4 Julai lalu dan satu jam kemudian, ia menggigit anak saudara tuannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 7:35 PM