Razif Rosli


MUKIM Matang di daerah Larut Matang Selama (LMS) diwartakan sebagai kawasan wabak anjing gila atau rabies oleh kerajaan Perak susulan satu kes dilaporkan di kawasan itu pada 4 Julai lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pengisytiharan wabak penyakit anjing gila itu digazetkan di bawah Subseksyen 39 (1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) berkuatkuasa hari ini.

Menurutnya, arahan itu memberi kuasa kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengambil tindakan sewajarnya di kawasan berkenaan.

"Oleh itu, semua pergerakan anjing keluar dan masuk di kawasan berkenaan adalah tidak dibenarkan kecuali atas kebenaran bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri.

"Mana-mana pemilik atau orang yang terbabit mengawal mana-mana anjing di dalam kawasan dijangkiti hendaklah memastikan anjing dikawal dengan baik (mengurung) di dalam kawasan yang tertutup dan sesuai serta mengikat anjing dengan selamat.

"Sekiranya dibawa keluar dari kawasan perumahan, mereka mestilah menggunakan tali pengikat yang sesuai," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai tindakan terhadap isu dalam laporan Ketua Audit Negara di Ipoh, hari ini.

Pewartaan itu dikeluarkan susulan kejadian dua kanak-kanak perempuan yang digigit anjing peliharaan pada 4 Julai lalu.

Kes itu dikesan apabila seorang pemilik anjing membuat laporan pada Khamis lalu mengenai anjing dipeliharanya mati selepas lapan hari menggigit anak perempuan dan anak saudaranya di Kuala Sepetang, Taiping.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 12:43 PM