MOHD Sani (kanan) dan isteri (kiri), bersama empat daripada tujuh anak mereka ketika ditemui di Stesen Minyak Petronas Kempas Baru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
MOHD Sani (kanan) dan isteri (kiri), bersama empat daripada tujuh anak mereka ketika ditemui di Stesen Minyak Petronas Kempas Baru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEMBILAN beranak yang terpaksa hidup sebagai gelandangan sejak lebih seminggu lalu, bersyukur apabila dibantu badan bukan kerajaan (NGO) dan diberi penempatan sementara bagi meneruskan kehidupan.

Mohd Sani Bachok, 38, terpaksa hidup bersama isteri, Norazilah Mahat, 28, serta tujuh anaknya dalam kereta Proton Iswaranya di tempat awam selepas terpaksa keluar dari rumah sewa kerana gagal membayar sewa yang tertunggak sejak tujuh bulan lalu.

Menurut Mohd Sani, dia pernah diminta keluar dari rumah sewa di Taman Perling, Johor selepas empat bulan tidak membayar sewa, namun apabila dia memohon tempoh itu dilanjutkan, pemilik rumah memberi masa tambahan tiga bulan lagi.

Selepas tempoh itu tamat, Mohd Sani dan keluarganya terpaksa keluar daripada rumah berkenaan, malah kesukaran mendapatkan rumah sewa dengan kesempitan wang dialaminya menyebabkannya terpaksa hidup gelandangan.

"Saya mula tinggal di dalam kereta dengan anak-anak yang berusia antara 14 bulan hingga 10 tahun sejak Hari Raya Keempat.

"Ketika keluar dari rumah, saya dan isteri hanya dapat membawa pakaian dan bergantung di mana lokasi yang dirasakan sesuai untuk berhenti.

"Dua hari pertama, kami tinggal dalam kereta di tepi jalan hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebelum berpindah ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pandan untuk mendapatkan sumber air bagi membersihkan diri.

"Dua hari di R&R Pandan, kami berpindah pula ke Stesen Minyak Petronas Kempas Baru di sini, untuk beberapa hari sebelum dibantu pihak NGO, We Love Charity (WLC) Johor Bahru," katanya ketika ditemui di stesen minyak berkenaan, hari ini.

Mohd Sani yang juga pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental bekerja sebagai tukang kebun, manakala isterinya seorang tukang cuci.

Mereka terpaksa bergilir untuk bekerja bagi membolehkan seorang daripada mereka menjaga anak-anak mereka yang masih kecil.

Tiga anak mereka yang berusia lapan, sembilan dan 10 tahun kini sudah diambil saudara terdekat untuk dijaga selepas ketiga-tiga mereka sudah seminggu tidak hadir ke sekolah akibat kesempitan hidup dialami.

Penderitaan Mohd Sani dan keluarganya itu dikongsikan terlebih dahulu oleh seorang orang awam yang menjumpai keluarga itu di stesen minyak berkenaan sebelum memuat naiknya di laman sosial Facebook (FB).

Ketika kisahnya mula tular, pihak WLC Johor terus bertindak menjejaki keluarga malang itu bagi menghulurkan bantuan.

Menurut Pengurus Projek WLC Johor Bahru, Anwar Miswan, kira-kira 12.30 tengah malam tadi, pihaknya cuba mencari keluarga Mohd Sani di lokasi stesen minyak itu, namun gagal.

"Kira-kira 1.27 pagi tadi, kami menjumpai mereka di sebuah rumah di Batu 10, Skudai yang diberikan ihsan orang awam yang menumpangkannya untuk satu malam.

"Mereka terpaksa keluar pagi tadi dan kemudian kami terus menempatkan mereka di sebuah rumah dan kami membayarkan wang deposit RM500.

"Pada masa sama, kami akan membantu mereka menguruskan proses permohonan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dimohon mereka tahun lalu.

"Kami akan meneruskan usaha membayar sewa RM500 untuk keluarga ini di rumah sementara ini sehinggalah mereka berjaya mendapatkan PPRT yang dimohon mereka," katanya.

Orang ramai yang prihatin dengan nasib keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank WLC Johor Bahru 151548201010.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 6:37 PM