ROSNAH memeluk Muhammad Shahfuan di samping Nur Atifah dan Muhammad Danish Hakim di rumah sewa mereka di Pengkalan Aur, Taiping.
ROSNAH memeluk Muhammad Shahfuan di samping Nur Atifah dan Muhammad Danish Hakim di rumah sewa mereka di Pengkalan Aur, Taiping.
D J Dolasoh


“Menjaga anak orang kurang upaya (OKU) yang terencat akal sejak lahir bukan mudah. Sebagai ibu, kita mesti berkorban apa saja termasuk masa, kudrat, waktu rehat, kerja dan sebagainya. Ditambah bebanan kemiskinan, saya dan anak-anak terpaksa melalui cabaran kehidupan ini,” kata Rosnah Ibrahim, 44.

Lebih memeritkan, sejak bercerai enam tahun lalu, dia tidak tahu di mana bekas suaminya kini berada, sekali gus bermakna tiada nafkah untuk anak diterimanya.

Bagaimanapun, Rosnah dari Taman Indah, Pengkalan Aur, Taiping, lebih bimbang memikirkan nasib mereka yang tiada rumah dan kini hanya menyewa.

Dia risau diminta keluar dari rumah sewanya kerana mungkin gagal membayarnya selepas sewa bulanan dinaikkan kepada RM300 mulai Mac lalu.

“Saya buntu memikirkan masa depan kami terutama di mana anak-anak akan tinggal kerana tidak memiliki rumah sendiri dan saudara terdekat,” katanya.

Selepas bercerai, dia terpaksa memelihara sendiri empat anak iaitu anak OKU, Muhammad Shahfuan Ahmad Fazli, 20, selain Nor Atifah, 18, dan Muhammad Danish Hakim, 8.

Anak sulungnya Nur Atikah, 22, sudah berkahwin setahun lalu dan bekerja kilang bersama suaminya di Petaling Jaya, Selangor yang pendapatan hanya cukup untuk mereka sekeluarga.

“Saya terpaksa menanggung belanja anak sama ada persekolahan, pakaian dan sewa rumah sedangkan saya tiada pekerjaan tetap.

“Meskipun sukar, saya tidak suka meminta-minta kerana selagi ada kudrat, saya akan bekerja sendiri untuk menanggung keluarga kerana mereka sajalah waris saya sekarang,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya, baru-baru ini.

Rosnah berkata, sebelum ini dia bekerja di sebuah stesen minyak di Taiping tetapi kini sudah berhenti apabila stesen itu ditutup, baru-baru ini. Dia berusaha mencari pekerjaan di sebelah petang, namun masih gagal ditemui.

“Sebelum ini saya hanya kerja pada sebelah petang di stesen minyak itu kerana pada waktu pagi terpaksa menjaga Muhammad Shahfuan yang OKU sejak lahir kerana agak agresif. Selain makan dan minumnya disuap, dia terpaksa memakai lampin pakai buang dan dimandikan kerana tidak boleh menguruskan diri sendiri.

Menurutnya, sebelum ini Nur Atifah menjaga Muhammad Shahfuan sebaik pulang dari sekolah manakala dia pergi bekerja di stesen minyak.

Dia risau sekiranya anak bongsunya, Muhammad Danish Hakim yang belajar di Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Pengkalan Aur (SKPA) terpaksa berhenti sekolah kerana tiada wang perbelanjaan.

Hasrat Nur Atifah yang mahu menyambung pelajaran pula mungkin terbantut meskipun lulus semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, baru-baru ini.

Rosnah berkata, dia tidak pernah mengecapi kesenangan kerana berasal daripada keluarga miskin.

“Sejak dulu, lebih lima kali saya memohon mendapatkan bantuan rumah termasuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tapi gagal. Ada pihak minta saya tunggu tapi tak tahu sampai bila,” katanya.

Menurutnya, wang bantuan daripada Baitul Mal Perak sebanyak RM400 sebulan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk anaknya yang OKU RM200 tidak mencukupi untuk perbelanjaan ahli keluarganya.

Rosnah yang minat berniaga berkata, jika ada modal dia mahu berniaga buah-buahan di kawasan beberapa taman perumahan berhampiran menggunakan motosikal roda tiga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 5:00 AM