Kuala Lumpur: Keadaan lalu lintas di beberapa lebuh raya utama negara sesak sehingga tengah malam tadi berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang menuju ibu kota dan destinasi lain selepas cuti Aidilfitri berakhir, semalam.

Penolong Jurutera Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Asyraf Rohan berkata, kesesakan itu berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dengan anggaran 1.4 juta kenderaan yang melalui lebuh raya berkenaan.

Bagaimanapun, Asyraf berkata, aliran trafik semalam lebih lancar berbanding kelmarin dan keadaan itu mungkin berlaku disebabkan sikap pengguna lebuh raya yang bijak merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan.

“Setakat jam 6 petang (semalam), trafik perlahan dari Sungai Petani, Kedah ke Sungai Dua, Pulau Pinang, Kuala Kangsar ke Terowong Menora, Perak, Ipoh Utara ke Simpang Pulai, Gua Tempurung ke Slim River dan Bukit Beruntung ke Rawang, Selangor.

“Manakala, kesesakan dari arah selatan bermula di Ayer Hitam-Simpang Renggam-Sedenak, Johor, Simpang Empat, Melaka ke Pedas Linggi dan Senawang ke Nilai, Negeri Sembilan berikutan berlakunya kemalangan di kawasan berkenaan.

“Dari arah timur, trafik didapati perlahan bermula dari Lancang ke Plaza Tol Karak, Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi dan laluan sepanjang empat kilometer (KM) sebelum tiba di Plaza Tol Gombak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurut Asyraf, kesesakan di laluan lebuh raya utama itu bukan asing sebaliknya seringkali berlaku setiap kali musim perayaan.

“Kami sudah menjangkakan keadaan ini, malah ia menjadi trend saban tahun terutama selepas cuti Aidilfitri.

“Antara punca utama peningkatan bilangan kenderaan tentunya kerana majoriti pengguna akan kembali bekerja esok (hari ini),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 9:30 AM
ANGGOTA trafik ‘mengagihkan’ saman kepada pengguna jalan raya yang melanggar had laju di plaza tol Juru, Pulau Pinang. Gambar kecil, kesesakan berlaku di  Plaza Tol Ipoh Selatan.
ANGGOTA trafik ‘mengagihkan’ saman kepada pengguna jalan raya yang melanggar had laju di plaza tol Juru, Pulau Pinang. Gambar kecil, kesesakan berlaku di Plaza Tol Ipoh Selatan.