KAMPUNG Tehel antara kawasan yang dilanda banjir. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
KAMPUNG Tehel antara kawasan yang dilanda banjir. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
BERNAMA

KEADAAN banjir di Melaka semakin pulih apabila hanya 126 mangsa daripada 27 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan setakat 8 malam ini berbanding 154 orang daripada 31 keluarga, petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, kesemua mereka ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu di Balai Raya Bukit Balai dan Balai Raya Kampung Pulau di Alor Gajah serta Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin.

“Daerah Jasin mencatat jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 91 mangsa daripada 19 keluarga dan mereka ditempatkan di SK Tehel.

“Bagi daerah Alor Gajah, 20 mangsa daripada tiga keluarga berada di Balai Raya Bukit Balai dan 15 mangsa daripada lima keluarga berada di Balai Raya Kampung Pulau,” katanya yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang melanda sejak tengah malam Isnin sehingga menyebabkan air Sungai Durian Tunggal, Sungai Melaka dan Sungai Tehel melimpah dan membanjiri lima kawasan dalam tempoh tiga hingga tujuh jam kemudian.

“Lima kawasan yang dilanda banjir ialah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai dan Kampung Pulau di Alor Gajah serta Kampung Tanjung Laboh dan Kampung Parit Lampong di Jasin” katanya.

Menurut beliau setakat ini cuaca dilaporkan baik dan hujan telah reda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 10:06 PM