BERNAMA

SEPULUH pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak, yang terbabit dalam kes buli enam pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan, ditamatkan pengajian berkuat kuasa semalam, selepas didapati bersalah.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, keputusan itu dicapai selepas dicadangkan Jawatankuasa Rayuan Maktab (JRM) dalam mesyuaratnya Isnin lalu, yang turut memberi peluang kepada semua pelajar terbabit membela diri.

"Ini adalah pengajaran kepada pelajar agar tidak melakukan perkara di luar kesopanan dan kesusilaan kita. Ibu bapa juga tidak perlu risau kerana kita tidak akan berkompromi dengan kes seperti ini.

"Saya juga nak tegaskan kita tidak menganiaya sesiapa," katanya selepas majlis penyampaian sijil Program Latihan Teknikal dan Keusahawanan Masyarakat Islam Kemboja di Rembau, hari ini.

Menurutnya, surat penamatan pengajian sudah dihantar kepada semua ibu bapa 10 pelajar terbabit, semalam.

Pada 18 Mei lalu, media melaporkan enam pelajar MRSM Parit menjadi mangsa buli, dipukul 10 senior kerana enggan meminjamkan kasut bola.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kes itu membabitkan mangsa yang semuanya berusia 14 tahun, dipukul pelajar senior berumur 15 dan 16 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 7:29 PM