IRMOHIZAM
IRMOHIZAM
Suzaini Sulaiman


Kuala Selangor: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan mencukupi sepanjang Ramadan sehingga Aidilfitri ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya berbincang dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Persatuan Nelayan Laut Dalam Semenanjung dalam memastikan bekalan ikan mencukupi sepanjang bulan puasa dan hari raya.

Beliau berkata, Nekmat memaklumkan mereka mempunyai stok ikan sejuk beku segar berjumlah 30 tan.

“Jumlah itu mampu menampung permintaan pasaran sepanjang tempoh musim perayaan ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Penutupan Kursus Keselamatan Nelayan (Kukenal) Negeri Selangor di Pantai Remis, di sini semalam.

Keyakinan LKIM itu berdasarkan jumlah tangkapan ikan di Perak seperti di Pantai Remis dan Hutan Melintang menunjukkan peningkatan.

Irmohizam berkata, jika berlaku kekurangan bekalan ikan di pasaran, ikan sejuk beku segar dijadikan sebagai stok itu dilambakkan di pasar tani di seluruh negara.

Menurutnya, melalui cara itu harga ikan akan stabil dan berpatutan apabila bekalan mencukupi dan pada masa sama rakyat dapat membuat pilihan sama ada mahu membeli ikan sejuk beku segar yang ditangkap di perairan negara atau diimport dari Bangladesh, India serta Pakistan.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Nekmat serta Jabatan Perikanan bagi memastikan bekalan ikan mencukupi dan harganya berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 5:27 AM