DATUK Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (hadapan) meninjau kebun pisang milik Zamali Mat Said, di Kampung Permatang Raja. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
DATUK Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (hadapan) meninjau kebun pisang milik Zamali Mat Said, di Kampung Permatang Raja. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bukit Gantang: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) akan melaksanakan jualan ikan segar secara dalam talian seluruh negara bermula tahun depan.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, inisiatif yang dimulakan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) pada 2019 itu memberi impak positif dan meningkatkan hasil pendapatan nelayan.

Menurutnya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), permintaan terhadap ikan segar dan sejuk beku khususnya di kawasan bandar meningkat.

"Kita ada 87 PNK dan mana-mana PNK yang mempunyai kemampuan atau stok bekalan ikan segar dan sejuk beku, kita akan melaksanakan jualan terus dalam talian bagi meningkatkan hasil pendapatan selain mengelakkan orang tengah.

"LKIM dijangka memulakan tempoh percubaan jualan secara dalam talian pada hujung tahun ini dan akan memulakannya secara menyeluruh pada awal tahun depan.

"Dalam masa sama kita menggalakkan nelayan atau isi rumah untuk berbuat demikian bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka kerana melalui platform itu, mereka boleh menjual ikan segar atau apa sahaja produk nelayan terus kepada pengguna," katanya selepas program Penyerahan Bantuan Input Tanaman Kontan di Kampung Permatang Raja, di sini, hari ini.

Menurutnya platform dalam talian adalah kaedah perniagaan baru yang perlu diceburi komuniti nelayan dan keluarga bagi sama-sama membantu meningkatkan pendapatan mereka khususnya dalam tempoh PKP.

Dalam perkembangan lain, Syed Abu Hussin berkata melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), LKIM mensasarkan pendapatan nelayan dan isi rumah mampu memperoleh RM10,000 sebulan menjelang 2025 sebulan.

Tambahnya, bagi memastikan matlamat itu dicapai, LKIM memperuntukkan RM4.6 juta dalam usaha membantu 2,500 keluarga nelayan seluruh Malaysia bagi memajukan tanaman kontan sebagai usaha menambahkan pendapatan sampingan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 1:07 PM