ANTARA pelajar yang menggunakan komputer sebagai alat pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Kampong Rinching, Beranang.
ANTARA pelajar yang menggunakan komputer sebagai alat pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Kampong Rinching, Beranang.
Oleh Nur Lela Zulkipli

Beranang: Suasana Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam kelas kini tidak lagi berpaksikan pembacaan buku teks semata-mata selepas pelaksanaan konsep Pembelajaran Abad Ke-21 (PA 21) yang menumpukan kepada kreativiti dalam memberi pemahaman kepada pelajar secara lebih holistik.

Malah, PA 21 berperanan besar dalam menghasilkan pelajar berdaya fikir hebat hasil garapan menerusi pendidikan yang memberi kebebasan berfikir dan menterjemahkan kreativiti dalam kelas.

Menyahut dasar yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, sehingga kini, sebanyak 877 daripada 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara sudah melaksanakan PA 21 dan angka itu dijangka meningkat setiap tahun.

Senarai sekolah yang terbabit dengan PA 21 bukan saja tertumpu di bandar, malah sekolah luar bandar turut menunjukkan peningkatan prestasi pelajar dalam peperiksaan akhir setiap tahun.

Bagi menyuntik kreativiti tersendiri yang dapat mewujudkan suasana menarik di dalam bilik darjah menerusi PA 21, guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Rinching (SKKR), di sini, turut mengambil kira perkembangan teknologi terkini dalam PdP.

Guru Besar SKKR Razak Said mengakui, pihaknya memegang kukuh prinsip bagi melahirkan modal insan berkualiti, berpengetahuan, daya fikir kreatif, mempunyai keyakinan diri seperti yang dinyatakan dalam PPPM 2013-2025.

“Setakat ini, pelajar yang mengikut konsep PdP PA 21 menunjukkan suatu perubahan sikap yang memberangsangkan apabila mereka berani mengemukakan pandangan, cara berkomunikasi lebih matang dan bekerja secara berkumpulan.

“Jika sebelum ini pembelajaran hanya berasaskan apa yang diajar guru, termasuk membuat latihan ulang kaji di rumah, tetapi sistem ini (PA 21), 70 peratus pembelajaran datangnya daripada idea pelajar, manakala 30 saja daripada guru yang bertindak sebagai pembimbing,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, ciri-ciri PA 21 ini juga memberi semangat kepada pelajar untuk menunjukkan kebolehan dan keyakinan diri apabila perlu memberi idea kepada guru untuk dibincang bersama.

“Kita mahukan PA 21 sentiasa di landasan yang tepat iaitu penekanan terhadap enam aspirasi iaitu menjadi pelajar yang berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwi bahasa (bahasa Inggeris dan Melayu), etika dan kerohanian dan identiti nasional,” katanya.

Sehingga 2018, SKKR menjangkakan peningkatan sebanyak 20 peratus daripada 65 peratus murid lulus keseluruhan pada tahun lalu menerusi pelaksanaan PA 21 selain aspek seperti pencapaian dalam kokurikulum dan kehadiran turut menunjukkan hasil positif.

Sementara itu, murid tahun lima sekolah berkenaan Muhd Haziq Khairi berkata, cara belajar PA 21 lebih menyeronokkan kerana mengutamakan kerja berkumpulan.

“Setiap murid diberi kebebasan untuk mengemukakan idea terhadap sesuatu topik pembelajaran secara berkumpulan dengan guru sebagai fasilitator,” katanya.

“Kemudahan lain disediakan ialah komputer, Internet dan belajar secara berkumpulan dengan rakan kelas dan dapat merapatkan lagi hubungan kami,” katanya.

Bagi Nurul Izzah Shamsul, 11, juga meluahkan pendapat sama apabila mengikuti kelas PA 21 yang berbeza dengan cara konvensional serta mengutamakan kepada apa yang diajar oleh guru.

“Kami berasa lebih yakin apabila belajar cara ini dan seronok apabila hasil kerja kita juga dipamerkan oleh guru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:31 AM