Salman Hamat


SEORANG perniagaan mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu seorang lelaki menerusi skim pelaburan minyak sawit mentah (CPO) pada Mac tahun lalu, ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Alor Gajah semalam.

Abdul Mudtalib Ismail, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di depan Majistret Nor Azizah Yusof.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang turut dikenali dengan panggilan Datuk Nadim itu bersama seorang lagi yang masih bebas, menipu Basir Abdul Talib, dengan menawarkan pelaburan menerusi Syarikat CPO Resources yang diketahuinya tidak wujud.

Perbuatan tertuduh mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM82,039 ke dalam akaun CIMB milik Syarikat Seri Wiramas Enterprise sebelum dipindahkan ke akaun CIMB CPO Resouces.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di DT947, Jalan Perdana 1, Taman Cempaka 2, Durian Tunggal antara 11 hingga 28 Mac tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam dan Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi, memohon mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh.

Peguam bela mewakili tertuduh Datuk S Arumugam, bagaimanapun merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan jumlah jaminan kepada RM10,000.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak Nor Azizah, kemudian menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh selain menetapkan 8 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 5:44 AM
ABDUL Mudtalib  diiringi anggota polis keluar selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah.
ABDUL Mudtalib diiringi anggota polis keluar selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah.