MUHAMMAD Zarif diiringi keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
MUHAMMAD Zarif diiringi keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
myMetro

Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, semalam memerintahkan seorang ahli perniagaan membela diri atas dua pertuduhan mengedar lebih enam kilogram ganja, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yassin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Zarif Mohd Noor Ajala, 40.

Dalam prosiding itu, mahkamah menetapkan 3 Mei ini untuk tertuduh membela diri.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Zarif didakwa mengedar ganja seberat 1,967 gram di tempat letak kereta di sekitar Mutiara Damansara jam 11 malam, 28 Jun 2013.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan itu membabitkan ganja seberat 4,496.79 gram di sebuah kondominium di Damansara Perdana, Petaling Jaya, jam 4.15 pagi, 29 Jun tahun sama.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, hasil pemeriksaan polis ke atas kereta Hyundai Atos dipandu tertuduh menemui dua ketulan mampat ganja di lantai bahagian penumpang hadapan kereta itu.

Polis menemui leraian daun kering atas meja dan lima ketulan mampat dadah sama di dalam sebuah kotak di sebuah bilik di kondominium terbabit.

Terdahulu, Ahmad Nasfy dalam penghakimannya berkata, mahkamah sudah meneliti keterangan semua saksi pendakwaan yang dipanggil bagi membuktikan kes prima facie.

“Selain penemuan konklusif dibuat ahli kimia (ujian pengesahan dadah), barang kes di kereta dan rumah itu jelas dadah berbahaya.

“Mahkamah berpuas hati mengenai inferen pemilikan dadah itu oleh tertuduh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 5:44 AM