AHMAD Shabery  (dua dari  kiri) melihat anak pokok durian Musang King  di Kluster Durian Raub.
AHMAD Shabery (dua dari kiri) melihat anak pokok durian Musang King di Kluster Durian Raub.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Raub: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani optimis China akan menjadi negara pengimport terbesar durian Musang King dalam tempoh terdekat.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, usaha mengimport secara terus Musang King atau Durian Raja Kunyit (D197) menembusi pasaran China dapat melonjakkan pendapatan 80,000 pengusaha durian di seluruh negara.

“Setakat ini, durian Musang King keluaran pekebun tempatan dieksport ke China menerusi negara ketiga seperti Singapura serta Hong Kong dan harga jualan di pasaran negara itu boleh mencecah ratusan ringgit sekilogram,” katanya pada sidang media selepas majlis penanaman Musang King yang ke-500,000 di Kluster Durian Raub di Kampung Pamah Rawas, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek dan Timbalan Pengarah Pertanian Pahang Muhamad Yusof Sadi Sutan.

Beliau berkata, usaha mengeksport secara terus durian Musang King dan pelbagai jenis durian didaftarkan di bawah Jabatan Pertanian selaras saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan durian adalah sumber kekayaan baru.

Ahmad Shabery berkata, pihaknya akan menggunakan program promosi iaitu Nanning Durian Festival di China pada 3 hingga 5 November depan untuk meningkat dan memperluaskan pasaran ke negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 9:43 AM