DR Subramaniam membuat tinjauan ke   KKKL selepas beroperasi selama tiga hari.
DR Subramaniam membuat tinjauan ke KKKL selepas beroperasi selama tiga hari.
Idris Musa


Kuala Lumpur: Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL) di Jalan Fletcher, di sini yang mula dibuka Isnin lalu akan beroperasi sehingga jam 9.30 malam tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pada masa sekarang klinik berkenaan beroperasi sehingga jam 5 petang, namun dicadangkan dalam satu atau dua minggu akan datang waktu rawatan dilanjutkan sehingga jam 9.30 malam.

“Jadi, ini membantu rakyat untuk datang mendapatkan rawatan di klinik pesakit luar untuk pelbagai jenis penyakit,” katanya.

Bagi tempoh tiga hari pertama klinik itu beroperasi, lebih daripada 700 orang mendapatkan rawatan.

“Dijangka jumlah ini akan naik untuk lebih kurang 1,000 (hingga) 1,500 dalam beberapa hari yang akan datang,” katanya.

Katanya, semua pesakit luar yang ingin mendapatkan rawatan bagi pelbagai jenis penyakit am tidak perlu lagi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Sebelum ini ada klinik pesakit luar di HKL yang berfungsi sebagai sebahagian daripada bahagian kecemasan dan kemalangan. Sekarang dengan adanya klinik ini, HKL tidak akan terus ada operasi klinik pesakit luar untuk penyakit am.

“Mereka (hanya) ada klinik pesakit luar untuk pakar dan bidang kepakaran tertentu, tetapi untuk penyakit am seperti demam, cirit-birit dan sakit perut ke klinik pesakit luar (KKKL),” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke KKKL di sini, semalam.

Dalam lawatan itu, beliau bertemu dan bertanya khabar dengan staf dan mereka yang mendapatkan rawatan, selain meninjau kemudahan di klinik berkenaan serta mendapatkan maklum balas mengenai operasi dan perkhidmatan disediakan.

KKKL yang terletak berdekatan Pusat Darah Negara serta tidak jauh dari HKL bersebelahan Jalan Tun Razak mula dibuka kepada orang ramai pada Isnin lalu. Pembinaannya bermula pada 15 Januari 2014 dengan kos RM50 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 4:14 AM