KEADAAN KKKL di Jalan Fletcher yang dijangka siap hujung bulan ini.
KEADAAN KKKL di Jalan Fletcher yang dijangka siap hujung bulan ini.
Asrizal Aris


Kuala Lumpur: Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL) di Jalan Fletcher, di sini, yang dijangka siap hujung bulan ini menjadi satu-satunya klinik kerajaan terbesar negara ini yang mampu merawat sehingga 4,000 pesakit sehari.

Dengan binaan reka bentuk ‘Super Type 1 Clinic’, pusat kesihatan ini menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur selain unit perkhidmatan pesakit luar yang luas, 10 kaunter pendaftaran serta kepakaran keluarga yang lebih ramai.

Tinjauan Harian Metro di lokasi pembinaan mendapati, kawasan klinik kesihatan seluas 1.3 hektar itu 90 peratus siap selepas mula dibina pertengahan 2014 lalu.

Klinik yang dibina dengan kos RM50 juta itu adalah klinik kesihatan ke-17 di bawah seliaan Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Persekitaran dalam bangunan yang selesa dan mesra pelanggan dengan menyediakan kafeteria, pusat sumber, taman permainan kanak-kanak dan surau pasti memuaskan hati pelanggan dengan perkhidmatan yang disediakan.

Selain perkhidmatan asas diketuai Pakar Perubatan Keluarga seperti unit pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, pergigian dan farmasi, KKKL juga menyediakan perkhidmatan tambahan untuk unit X-ray, makmal, pakar pemakanan serta rehabilitasi.

Pelajar, Siti Nurul Aisyah Zulzaidi, 19, berkata, pembinaan klinik kesihatan di daerah itu sememangnya dinanti-nantikan oleh penduduk setempat kerana berhampiran dengan sekolah, pejabat kerajaan dan pusat tumpuan orang ramai.

“Bukan penduduk saja boleh mendapatkan rawatan segera, malah orang ramai yang menghadapi kes kecemasan di kawasan sekolah dan pusat beli-belah juga dapat menerima perkhidmatan kesihatan dengan cepat.

“Klinik ini antara yang terbesar dan saya jangkakan perkhidmatan yang disediakan juga tidak ubah seperti hospital,” katanya.

Katanya, kemudahan kaunter yang banyak dan 400 lot parkir disediakan KKKL mengurangkan tekanan pesakit yang sering menghadapi masalah parkir dan beratur panjang di klinik kesihatan.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Titiwangsa, Dr Mahanim Md Yusof berkata, pembinaan KKKL selaras dengan perancangan Kementerian Kesihatan untuk membina klinik di pusat daerah supaya penduduk tidak perlu bergerak jauh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 9:31 AM