Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Anggota bomba menemui barang kemas dan wang tunai RM16,178 dalam almari sebaik selesai memadamkan kebakaran sebuah rumah di Jalan Denai 4, Kempas Baru di sini, semalam.

Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Ibrahim Omar berkata, terdahulu, 14 anggota bomba ke lokasi selepas menerima panggilan kebakaran, jam 9.02 pagi.

“Kebakaran membabitkan rumah kekal yang terbakar hampir 80 peratus. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat,” katanya.

Ketika kejadian, hanya pemilik rumah yang tiada di kediamannya kerana bekerja manakala lapan ahli keluarga berada dalam kediaman berkenaan.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dalam kejadian terbabit.

Ibrahim berkata, selepas operasi pemadaman, pihaknya melakukan penyerahan barangan kepunyaan pemilik rumah yang ditemui sepanjang operasi dijalankan.

“Ketika menjalankan operasi pemadaman, anggota bomba menemui barang kemas membabitkan dua rantai, empat gelang dan enam cincin serta wang tunai dalam almari.

“Kami menyerahkan barang kemas dan wang tunai yang ditemui kepada pemilik rumah sambil disaksikan pihak polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 7:10 AM