NISALMA dipenjara dua tahun sebabkan kematian suami.
NISALMA dipenjara dua tahun sebabkan kematian suami.
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Seorang pemilik kedai perabot dipenjara dua tahun di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan kematian suaminya di Kampung Chica di sini, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Nisalma Saat, 40, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dengan syarat tambahan dikenakan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, Nisalma didakwa menyebabkan kematian Mohd Zamany Md Eusope, 41, di dalam kedai perabot di Kampung Chica , Jalan Hospital Kubang Kerian, Kubang Kerian di sini pada jam 9.45 malam, 3 September 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana mempunyai anak dan ibu bapa yang menghidap angin ahmar.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 11:31 AM