Kota Bharu: Seorang amah Indonesia dipenjara enam bulan di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan melindungi majikannya dengan membuang pisau digunakan dalam pembunuhan suami majikannya itu, September tahun lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Ratu Nahriah, 27, mengaku bersalah terhadap tuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melindungi majikan wanitanya, Nisalma Saat, 37, dengan bertindak membuang pisau digunakan dalam pembunuhan suami Nisalma, Mohd Zamany Md Eusope, 38, di sebuah kedai perabot di Kampung Chicha, di sini pada antara jam 9.45 malam dan 11 malam, 3 September 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang pemilik kedai perabot (Nisalma) mendakwa kematian suaminya akibat penyakit asma.

Namun, selepas bedah siasat dijalankan, hospital mendapati kesan tikaman pada bahagian kira dada mangsa dan kesan koyakan di dagu mangsa dipercayai kesan tusukan besi tajam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menerima panggilan telefon daripada majikan wanitanya, yang meminta tertuduh membuang pisau yang digunakan semasa kejadian dan membersihkan kesan darah. 

Tertuduh kemudian membuang pisau itu ke dalam lubang tangki najis di bilik mandi bahagian dapur.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahrun Nizam Mohd Misan. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:02 AM