Shah Alam: Seorang guru besar dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan bagi melanjutkan kontrak kantin sekolah, tiga tahun lalu.

Hakim, Asmadi Hussin, memerintahkan tertuduh, M Subramaniam, 56, dipenjara berasingan masing-masing empat bulan bagi pertuduhan membabitkan wang RM4,400 itu.

Bagi pertuduhan pertama, dia yang sebelum ini berkhidmat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rawang, didakwa menerima wang berbentuk cek bernilai RM1,500 tanpa balasan daripada pengusaha kantin yang mempunyai tugasan rasmi dengan tertuduh.

Mengikut pertuduhan berikutnya, Subramaniam didakwa menerima wang tunai RM2,900 tanpa balasan daripada individu itu sebagai dorongan melakukan perkara sama.

Perbuatan itu dilakukannya di kantin sekolah berkenaan 30 Januari dan 8 Oktober 2014.

Justeru, tertuduh yang kini guru besar sebuah sekolah di Sungai Buloh, melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Subramaniam yang diwakili peguam, M Athimulan, memohon hukuman diringankan kerana anak guamnya menggunakan wang itu untuk meningkatkan tahap pendidikan sekolah.

“Selain itu, ia kesalahan pertama tertuduh yang bertugas sejak 30 tahun lalu dan mempunyai tiga anak masih bersekolah,” katanya.

Namun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahamad Sukri Abu Seman, memohon hukuman setimpal kerana mengambil kira faktor kepentingan awam dan perbuatan tertuduh yang menggunakan jawatannya untuk menerima suapan walaupun tanpa balasan.

Asmadi dalam penghakimannya berkata, hukuman yang diperuntukkan mungkin tidak banyak, namun kesalahan itu bukan hanya dianggap ringan semata-mata.

“Berikutan itu, tertuduh dipenjara empat bulan bagi pertuduhan pertama manakala empat bulan lagi selepas selesai menjalani hukuman terdahulu,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan pembelaan untuk penangguhan hukuman sehingga selesai proses rayuan dan menetapkan kos ikat jamin berjumlah RM10,000.

Subramaniam turut diperintahkan melaporkan diri kepada SPRM Selangor sebulan sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 6:15 AM