Nadzreen Shah Mat Salim


Kuala Lumpur: “Kami bukan minta untuk disanjung, kami mahu dihormati bukan diperlakukan sebegini,” kata, Hairi Md Ali, 40-an, wakil pemandu lori yang menyertai perhimpunan aman menyokong mangsa, Nasrul Faiz Zulfahmi, 25, yang dibelasah dalam kejadian di Bukit Antarabangsa, Sabtu lalu.

Tujuan perhimpunan itu bagi memberi sokongan moral kepada mangsa dan kira-kira 200 pemandu lori serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan berhampiran plaza Tol Sungai Besi, bermula jam 10 pagi, semalam.

Menurutnya, selain itu, kehadiran mereka juga untuk memberi pendedahan kepada orang ramai berhubung tugas dan cabaran sebenar pemandu lori.

“Kami rasa terkilan apabila melihat rakaman video berkenaan dan terasa maruah kami sebagai pemandu lori dipijak-pijak.

“Dari sekecil-kecil barang sehingga ke barang yang besar kami hantar. Siapa yang akan hantar barang anda semua ini jika tiada pemandu lori.

“Cuit kaki kanan, kaki kiri terasa. Sebagai pemandu lori, segala keperitan dialami mangsa amat kami rasai,” katanya.

Hairi berkata, semua pemandu yang hadir pada pagi ini sepakat untuk memberikan bantuan kepada Nasrul termasuk kos rawatan sekiranya diperlukan.

“Malah jika memerlukan peguam, kami akan usahakan macam mana cara sekali pun,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, seorang pemandu lori lembik dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai pengawal peribadi seorang individu bergelar Datuk apabila mangsa terlanggar kenderaan milik Datuk terbabit.

Kejadian menjadi tular apabila rakaman video pergaduhan terbabit dimuat naik di media sosial hingga mencetuskan reaksi orang ramai.

Menerusi rakaman video berdurasi 2 minit 49 saat itu, mangsa yang tidak berdaya disepak dan ditendang lima lelaki hingga menyebabkan dia terbaring di atas jalan.

Hairi berharap polis melakukan siasatan sebaik mungkin dalam menghukum individu yang terbabit.

“Kami mahu kebenaran dan penjelasan mengapa mangsa diperlakukan sebegitu seperti tiada cara yang lebih elok untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

Sementara itu, Nasrul Faiz ketika ditemui di perhimpunan itu bersyukur apabila kebanyakan pemandu lori menyokong serta memberikan semangat kepadanya.

“Saya masih lagi trauma selepas kejadian itu. Namun, dengan semangat yang diberikan kepada saya, sedikit sebanyak menjadikan saya lebih tenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 5:55 AM
ANTARA pemandu  lori yang hadir  pada himpunan aman pemandu lori di stesen minyak Petron berhadapan Plaza Tol Sungai Besi, semalam.
ANTARA pemandu lori yang hadir pada himpunan aman pemandu lori di stesen minyak Petron berhadapan Plaza Tol Sungai Besi, semalam.