ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa terjatuh ketika memetik buah asam gelugor.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa terjatuh ketika memetik buah asam gelugor.
Muhamad Izzat Nasuruden


Taiping: Hasrat seorang lelaki untuk memetik buah asam gelugor tidak kesampaian apabila dia terjatuh dari ketinggian 12 meter, di Changkat Jering, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 2.50 petang itu rakan mangsa menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping jam 3.02 petang.

Ketua Operasi dari BBP Taiping, Pegawai Bomba Kanan II, Mustapa Kamal Ismail, berkata, anggota terpaksa meredah masuk ke dalam hutan 100 meter untuk ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang berusia 32 tahun berada dalam keadaan terbaring dan cedera di bahagian belakang.

“Mangsa gagal berpaut di dahan pokok dan menyebabkannya terus jatuh secara terduduk ke tanah,” katanya.

“Rakan mangsa menghubungi pihak bomba untuk mengeluarkan mangsa dari hutan berkenaan dan kita berjaya membawa mangsa keluar sebelum menyerahkannya kepada ambulans untuk dibawa ke hospital,” katanya.

Mustapa Kamal berkata, mangsa tidak cedera dan menerima rawatan di Hospital Taiping.

Katanya, tujuh anggota menyertai operasi itu sebelum ditamatkan jam 4.18 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 5:32 AM