MOHAMMAD Arif Munir dan Arifah Atirah bersama hadiah yang dimenangi.
MOHAMMAD Arif Munir dan Arifah Atirah bersama hadiah yang dimenangi.
Amran Yahya


Kuala Pilah: Dua beradik iaitu Mohammad Arif Munir Zulkifli, 17, dan Arifah Atirah, 15, masing-masing muncul johan kategori remaja lelaki dan perempuan dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuala Pilah di Masjid Kariah Gentam, di sini, kelmarin.

Mohammad Arif Munir dan Arifah Atirah, berjaya menarik perhatian juri, sekali gus membawa pulang RM1,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Mohammad Arif Munir berkata, dia bersama adiknya menyertai tilawah peringkat daerah selepas menimba pengalaman di sekolah.

“Keluarga kami mengutamakan pengajian al-Quran dengan membahagikan masa untuk mengaji. Walaupun saya menuntut di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Jempol, saya tetap mendisiplinkan diri untuk mengaji pada waktu sesuai,” katanya.

Sementara itu, Arifah Atirah yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Haji Mohd Said Seremban berkata, pembahagian masa untuk mempelajari ilmu al-Quran penting supaya tidak lalai dengan arus kemodenan.

Seramai 32 peserta mengambil bahagian dalam tiga kategori iaitu remaja lelaki dan perempuan, dewasa lelaki dan wanita serta veteran lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 9:45 AM