BERSAMA rakan sekerja meneliti bacaan al-Quran.
BERSAMA rakan sekerja meneliti bacaan al-Quran.
NOR Azrah bersama sebahagian koleksi piala yang dimenanginya.
NOR Azrah bersama sebahagian koleksi piala yang dimenanginya.
Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Walaupun sibuk melaksanakan tugas sebagai penjawat awam, isteri selain ibu kepada enam anak, Nor Azrah Ayub, 38, tidak pernah mengabaikan al-Quran, malah memastikan amalan mengagungkan kebesaran kalam Allah SWT itu sentiasa mekar dalam kehidupannya sekeluarga.

Nor Azrah yang dinobatkan johan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali Ke-59 di Putrajaya, 26 Mac lalu mengakui rutin hariannya sama seperti ibu lain bagi memastikan keperluan sekeluarga termasuk suami, Md Fauzan Samad, 45, sentiasa terjaga.

Katanya, dia juga komited memenuhi tanggungjawab sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa di Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) yang menuntut pengorbanan masa serta tenaga termasuk kerap bekerja di luar daerah.

“Rutin harian saya bermula jam 4.30 pagi. Saya akan membersihkan diri sebelum meneruskan ibadat sunat seperti solat taubat, tahajud, hajat disusuli latihan talaaqi (bacaan al-Quran secara kuat) hingga masuk waktu Subuh yang diadakan berjemaah.

“Selepas itu, saya pastikan empat daripada enam anak berusia empat tahun hingga 11 tahun bersiap ke sekolah, selain menyediakan sarapan untuk ibu saya, Hamidah Abdul Rauf yang berusia 71 tahun.

“Selepas suami menghantar anak ke sekolah, kami bertolak ke pejabat masing-masing. Suami bertugas sebagai pengurus projek sebuah syarikat swasta di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru,” katanya ketika ditemui.

Nor Azrah yang pernah merangkul johan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 2010 berkata, rutinnya di pejabat berjalan seperti biasa dan dia pulang ke rumah sebaik tamat bertugas.

“Apabila pulang daripada pejabat, anak juga sampai ke rumah dan membersihkan diri, kami sama-sama solat berjemaah dan membaca al-Quran sementara menunggu waktu Isyak.

“Selesai solat Isyak, kami makan malam dan selepas itu, saya pastikan anak mengulang kaji pelajaran. Mereka masuk tidur, jam 10 malam,” katanya.

Nor Azrah berkata, selepas anaknya tidur, dia meneruskan rutin berlatih mengaji al-Quran hingga tengah malam sebelum berehat.

“Membaca al-Quran ini minat saya sejak kecil. Arwah ayah, Ayub Taib memberi sokongan kuat, termasuk sanggup membelikan pemain kaset bagi membolehkan saya mendengar bacaan al-Quran setiap hari.

“Minat ini timbul selepas kami sekeluarga menonton tilawah al-Quran di televisyen setiap kali Ramadan dan ayah ingin sekali melihat saya muncul di kaca televisyen, namun hajatnya tidak kesampaian apabila meninggal dunia pada 1994.

“Guru pertama yang mengajar saya muqaddam ialah ibu dan apabila usia meningkat, saya berguru dengan Ustaz Ismail Panacok dan Haji Sarpani Sulaiman serta guru lain mengikut peringkat.

“Saya belajar daripada pelbagai guru untuk memahirkan diri dalam tajwid, fasohah (fasih sebutan Arab) dan taranum,” katanya.

Nor Azrah berkata, antara tip untuk memastikan bacaan lancar ialah sentiasa menjaga stamina, pemakanan dan pernafasan selain pengambilan makanan tambahan lebih-lebih lagi menjelang pertandingan tilawah al-Quran.

Menurut Nor Azrah, dia bersama qari dari Kelantan, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah akan mewakili negara ke Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei hingga 7 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 9:03 AM