GURU mengajar penghuni Madrasah Hashimiah.
GURU mengajar penghuni Madrasah Hashimiah.
PENGHUNI Madrasah Hashimiah pada waktu pembelajaran.
PENGHUNI Madrasah Hashimiah pada waktu pembelajaran.
Suraya Roslan


Selayang: “Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin, tanpa bantuan semua anak-anak saya hanya makan telur dan sayur terbuang saja,” kata Pengasas dan Pengetua Madrasah Hashimiah Ustaz Hashim Kassim.

Sebelum ini, seramai 170 penghuni madrasah yang terletak berhampiran Kompleks Pasar Borong Selayang, di sini, terdiri daripada kanak-kanak miskin dan yatim Rohingya serta Myanmar Muslim hanya dihidangkan telur dan sayur terbuang berikutan bekalan makanan mereka terputus selepas keadaan kewangan makin menyusut.

Hashim berkata, madrasah itu yang ditubuhkan 18 tahun lalu khusus untuk kanak-kanak pelarian mengaji al-Quran sebagai pengajian teras manakala subjek Matematik, Bahasa Myanmar, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu hanya diajar sebagai subjek asas.

“Selepas Aidiladha lalu, keadaan kewangan kami menyusut menyebabkan makanan terpaksa dicatu. Kebiasaan mereka akan makan daging dan ayam, tetapi ditukar kepada telur setiap hari.

“Tetapi selepas kisah madrasah kami diviralkan di laman sosial, alhamdulillah makanan yang diterima tidak putus dan terima kasih kepada semua yang membantu,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Hashim yang mempunyai pentauliahan mengajar al-Quran dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, dia menggunakan wang RM5,000 hingga RM6,000 sebulan hasil mengajar al-Quran dan agama untuk menampung perbelanjaan madrasah yang terletak di bangunan tiga tingkat itu.

“Kami memerlukan perbelanjaan RM20,000 sebulan untuk membayar gaji 12 guru, sewa bangunan tiga tingkat, bil elektrik dan air serta barangan keperluan makanan untuk anak tahfiz.

“Keadaan ekonomi sekarang menyebabkan keadaan kewangan kami begitu menyusut dan langkah terbaik adalah melihat kembali perbelanjaan makanan kami,” katanya.

Katanya, selepas kisah madrasah itu viral di laman sosial, ramai dermawan tampil membantu.

“Terima kasih kepada semua pihak, dapat anak-anak saya merasai makanan sedap ketika ini, sebelum ini mereka ada juga merungut apabila setiap hari dihidangkan dengan telur,” katanya.

Mengimbau usaha membuka madrasah berkenaan, Hashim berkata, dia yang dulunya bekerja di pasar berkenaan sebagai penolak sayur kerap melihat anak-anak Rohingya berkeliaran tanpa pelajaran.

“Saya rasa bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan kepada mereka dan disebabkan itu mula bekerja keras mencari wang demi menubuhkan madrasah ini.

“Alhamdulillah, cita-cita saya tercapai dan kebanyakan anak-anak ini sudah menjadi huffaz dalam usia muda dan dapat merasai pengalaman bersekolah kerana mereka tidak berpeluang untuk ke sekolah harian biasa,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyampaikan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun CIMB Bank Madrasah Hashimiah (8600 2028 64) atau menghubungi talian 018-2882754.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 9:39 AM