ANAK-ANAK yatim Rohingya mengisi aktiviti sepanjang dikuarantin dengan membaca surah Yasin setiap hari dan al-Quran serta bersolat tarawih. FOTO IHSAN HASHIM KASSIM
ANAK-ANAK yatim Rohingya mengisi aktiviti sepanjang dikuarantin dengan membaca surah Yasin setiap hari dan al-Quran serta bersolat tarawih. FOTO IHSAN HASHIM KASSIM
Muhaamad Hafis Nawawi


"SETIAP hari anak-anak yatim Rohingya yang dikuarantin di Madrasah Hashimiah berhampiran Kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur membaca surah Yasin dan berdoa semoga musibah Covid-19 ini berakhir dan Malaysia kembali pulih seperti dahulu," kata pengasas dan Pengetua Madrasah Hashimiah, Hashim Kassim.

Menurutnya, ketika ini kira-kira 30 anak yatim Rohingya tinggal di asrama madrasah itu dan tidak dibenar ke mana-mana susulan kawasan terbabit dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Sebelum ini ada 220 pelajar di madrasah terbabit namun mereka yang ada keluarga sudah dihantar pulang sebelum PKP kerana sekolah tidak dibuka.

"Yang tinggal ini hanya pelajar terdiri anak-anak yatim Rohingya dan mereka mengisi aktiviti sepanjang dikuarantin dengan membaca surah Yasin setiap hari dan al-Quran serta bersolat tarawih," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hashim berkata, anak-anak yatim di madrasah itu sudah menjalani tiga kali saringan Covid-19 dan setakat ini tiada yang positif sementara dia pula yang tinggal di Gombak hanya mengikuti perkembangan pelajar melalui panggilan telefon kepada petugas di madrasah terbabit.

"Sehari sebelum PKPD di kawasan terbabit, saya tidak bermalam di madrasah dan pulang ke rumah menyebabkan tidak dapat masuk ke kawasan itu.

"Mujur masih ada sedikit lagi bekalan makanan seperti beras, ikan dan telur yang disimpan dan digunakan untuk juadah berbuka ketika dikuarantin," katanya.

Menurutnya, sambutan Ramadan tahun ini agak berbeza kerana kebiasaannya anak yatim terbabit akan memenuhi undangan berbuka puasa namun kali ini tidak dapat dilakukan.

Dia juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sepanjang 26 tahun tinggal di sini dapat tinggal dalam keadaan aman dan banyak dibantu rakyat negara ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 3:05 PM