MUHAMMAD terlantar akibat menghidap masalah celebral palsy sejak berusia tiga bulan.
MUHAMMAD terlantar akibat menghidap masalah celebral palsy sejak berusia tiga bulan.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur : Seorang tidak dapat diselamatkan ketika proses kelahiran manakala seorang lagi yang hidup kini hanya mampu terlantar kerana menghidap masalah Cerebral Palsy (CP) kategori spastik Quadriplegia (masalah saraf kedua-dua kaki dan tangan teruk).

Begitulah suratan takdir dua kembar lelaki mengalami kekurangan oksigen dan darah ketika proses kelahiran berikutan ibu mereka Noorsyarlilawati Abu Hashim, 40, terpaksa bersalin lebih awal daripada jangkaan berikutan masalah dalam kandungan.

Belum pun hilang rasa kesedihan Noorsyarlilawati kerana kehilangan seorang bayi yang dikandung selama lapan bulan, dugaan lain menimpanya apabila seorang lagi bayinya yang hidup Muhammad Ni’matullah pula disahkan menghidap CP pada usia tiga bulan.

Ibu kepada lapan anak berusia 18 hingga dua tahun itu berkata, dia tidak akan menyerah kalah dan tetap berjuang demi memastikan anak syurganya yang mesra dipanggil Muhammad kini berusia dua tahun tiga bulan itu hidup seperti kanak-kanak lain.

“Bohong kalau kata saya tak sedih. Hati ibu mana tidak tersentuh jika kanak-kanak seusianya mungkin sudah pandai merangkak, bercakap dan berjalan berbeza sungguh dengan Muhammad hanya terbaring lemah.

“Kadang-kadang teringin hendak dengar dia panggil saya ummi tetapi saya tahu keadaannya tidak memungkinkan dia buat macam itu.

“Apa terdaya saya buat sekarang ialah berdoa dan ikhtiar sebaik mungkin untuk memulihkan keadaan Muhammad macam kakak dan abangnya yang lain,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Noorsyarlilawati, dia berikhtiar menghantar Muhammad menjalani fisioterapi di Pusat Dalam Komuniti (PDK) seminggu tiga kali di samping ke pusat swasta yang menyediakan rawatan khusus untuk masalah saraf di Manjung, Perak.

“Muhammad perlu cukup sekurangnya lapan hari kehadiran di PDK atau tidak layak dapat elaun RM150.

“Sebelum ini, saya juga ada menghantar menjalani terapi saraf RM500 untuk 20 sesi rawatan tetapi kini dihentikan sejak Ogos lalu kerana kami tiada wang untuk meneruskan rawatan dan membiayai kos ulang-alik ke pusat rawatan,” katanya yang menetap di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Menurutnya, pendapatan suaminya Mat Airi Mohamad, 47, yang bekerja sendiri sebagai tukang rumah kecil-kecilan tidak menentu bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Saya tidak bekerja, hanya suami mencari rezeki untuk kami 10 beranak. Kadang ada kerja, kadang tiada.

“Kami bernasib baik anak sulung berusia 18 tahun belajar di Politeknik Arau, Perlis menerima pinjaman belajar, empat yang bersekolah turut mendapat biasiswa dan bantuan persekolahan manakala kami pula menetap di atas sebuah tanah wakaf.

“Namun, dalam keadaan sekarang saya akui kami terpaksa berjimat cermat dan mengutamakan yang penting.

“Atas sebab itu rawatan terapi saraf Muhammad di pusat swasta itu terpaksa dihentikan kerana kami tidak dapat menyediakan RM500 setiap bulan walaupun Muhammad menerima RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Katanya, dia percaya peluang Muhammad untuk sembuh tinggi apabila menjalani fisioterapi serta terapi saraf secara intensif untuk proses penyembuhan dan merangsang perkembangan kanak-kanak itu.

“Sebagai ibu, saya menyayangi Muhammad macam anak yang lain. Saya mahu suatu hari nanti dia boleh berjalan tak kisahlah walaupun makan masa lama,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Muhammad boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam 08022020376074 atau menghubungi Noorsyarlilawati di talian 019-5185659.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 8:38 AM