IRFAN Wafiy (dua dari kiri) bersama ibu bapanya dan Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dr Asmah Razalli (dua dari kanan) dalam perjumpaan khas di Taman Dahlia, Pasir Gudang. FOTO Mohd Fahmi Mohd Yusof
IRFAN Wafiy (dua dari kiri) bersama ibu bapanya dan Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dr Asmah Razalli (dua dari kanan) dalam perjumpaan khas di Taman Dahlia, Pasir Gudang. FOTO Mohd Fahmi Mohd Yusof
Izlaily Nurul Ain Hussein


MANGSA pencemaran Sungai Kim Kim, Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang disahkan menghidap Myokymia tidak pernah mempunyai sejarah penyakit selama ini.

Bapanya, Idham Wazir A Wahab, 49, berkata penderitaan dialami anak keempatnya itu berlaku sejak Mac lalu, selepas terkesan dalam insiden pencemaran berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini anaknya seorang yang aktif dan gemar melakukan aktiviti renang, namun kini mula hilang keyakinan diri selain personalitinya tidak seperti dulu.

“Anak saya tidak pernah sakit sebelum ini, memang dia tidak pernah kena (sakit). Dia seorang yang aktif dan cergas, bila jadi macam ini dia hilang keyakinan diri.

“Dulu, dia suka sangat berenang, sekarang dia dah tidak boleh buat apa. Kadang-kadang bila dia duduk sendiri, dia pukul kakinya dan tanya kepada saya kenapa dia harus kena penyakit seperti ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pertemuan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) bersama penduduk Pasir Gudang di Taman Bukit Dahlia, hari ini.

Idham Wazir berkata, selain faktor kesihatan Irfan Wafiy, dia bimbang dengan proses pembelajaran anaknya yang kini terganggu.

Katanya, ia berikutan sesi rawatan yang perlu dihadiri anaknya selain berdepan kesan sampingan pengambilan ubat dibekalkan hospital.

“Anak saya tidak ada sawan tetapi hanya dibekalkan dengan ubat penyakit itu. Ubat itu kalau dia makan banyak, kesan sampingannya yang paling jelas dia tidur sedangkan dia akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Jika kena makan ubat siang, kita kena bagi, tetapi dia akan tertidur dalam kelas, dah tiga bulan makan ubat sama tetapi tiada perubahan,” katanya.

Pada masa sama, Idham Wazir meluahkan rasa kecewanya berikutan tiada sebarang tindakan daripada pihak berwajib yang mengambil berat status kesihatan anak mereka sehingga hari ini.

Idham Wazir turut mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendakwa mengambil perhatian serius terhadap masalah dihadapi mereka.

“Mana seriusnya perhatian mereka, kata KKM sentiasa memantau keadaan anak saya, saya pun tidak faham. Irfan Wafiy sepatutnya perlu mendapatkan rawatan fisioterapi tetapi temu janjinya Ogos ini.

“Anak saya kena Mac, tetapi temu janjinya Ogos, anak saya fobia malah mangsa lain juga fobia,” katanya.

Selain itu, dia kecewa apabila temu janji untuk rawatan psikologi dengan Hospital Permai, Tampoi sebanyak tiga kali, namun tiada apa-apa tindakan.

“Tiga kali saya bawa anak jumpa doktor psikologi di Hospital Permai tetapi tiga kali doktor tidak ada,” katanya.

Menurutnya, anak keempat dari lima beradik itu perlu menjalani tiga rawatan susulan iaitu rawatan saraf, fisioterapi dan psikologi.

Katanya, hanya satu rawatan saja diberi perhatian iaitu perlu berjumpa dengan doktor saraf dua minggu sekali.

Sementara itu, ibu Irfan Wafiy, Norlela Abu Hashim, 45, berkata, keluarganya akan memfailkan saman terhadap pihak terbabit susulan apa yang berlaku terhadap anaknya itu.

Katanya, saman itu bukan untuk dirinya, tetapi untuk pembelaan masa depan anaknya.

Bagaimanapun, katanya, jumlah saman masih belum ditentukan kerana masih di peringkat perbincangan.

“Kami akan memfailkan saman kepada pihak yang terbabit terutamanya kilang yang melupuskan bahan kimia berkenaan sehingga menyebabkan ramai mangsa terkesan serta kesihatan terjejas.

“Jumlah itu kalau diikutkan RM50 juta pun tidak cukup memandangkan ramai mangsa, namun kami serahkan kepada peguam kerana mereka tahu kerja mereka,” katanya.

Norlela berkata, tindakannya itu bukan seperti ibarat menangguk di air keruh, tetapi demi hak serta pembelaan masa depan Irfan Wafiy yang kini bergelut dengan masalah kesihatan.

Berita berkaitan

[UPDATE] KKM mulakan siasatan

Derita Irfan kerana toksik Sungai Kim-Kim [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 6:05 PM