MAHDZIR (empat kiri) beramah mesra dengan pelajar SBPI Rawang yang menjuarai pertandingan.
MAHDZIR (empat kiri) beramah mesra dengan pelajar SBPI Rawang yang menjuarai pertandingan.
Intan Mas Ayu Shahimi


Kuala Lumpur: “Idea asal adalah untuk menangani masalah kerap mengantuk dalam kelas, mana tahu tuah mengiringi kami setiap kali projek inovasi ini dipertandingkan,” kata Guru Pembimbing Sepintar Young Inventors, Sakinah Yusoff.

Guru Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang itu mengiringi empat pelajarnya ke pentas selepas kumpulan Sepintar Young Inventors diumumkan juara Program Inovasi Usahawan Muda - SME Bank Y-Biz Challenge 2016, di sini, semalam.

Menurut Sakinah, beliau dan pelajar tidak meletak harapan besar berikutan berdepan saingan sengit pada peringkat akhir.

“Kami mempertaruhkan produk Essential Fan iaitu kipas beraroma minyak angin yang boleh mengatasi masalah pening,
selesema dan kerap mengantuk di dalam kelas.

“Kipas tangan dibuat daripada habuk kayu yang dimampatkan manakala minyak angin dihasilkan daripada herba terpilih.

“Namun demikian, saya percaya kami mempunyai kelebihan berbanding sekolah lain kerana menembusi pasaran negara jiran,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sepintar Young Inventors terdiri daripada pelajar tingkatan tiga, Abdullah Hafeez Zulkefli, Mohamad Zahin Mohd Zakian, Izzatul Nasuha Feizal dan Dze Fathi Md Razeef.

Juara membawa pulang hadiah tunai keseluruhan RM20,000, trofi, sijil penyertaan, Piala Pusingan SME Bank dan hadiah khas berupa tiket penerbangan RM25,000 untuk empat orang bagi menyertai pertandingan luar negara.

Naib juara dimenangi kumpulan The Genius Y-Scientist dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah, Dungun, Terengganu.

Manakala tempat ketiga menjadi milik kumpulan Sanzac Warriors dari SMK Sanzac, Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam pada itu, Pengerusi SME Bank, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata, pihaknya bangga dengan kesungguhan dan kejayaan ditonjolkan peserta tidak kira di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Tahun ini kami menerima 88 penyertaan termasuk 46 sekolah yang baru kali pertama mengikuti program.

“Sejak dimulakan pada 2012, program ini disertai 409 sekolah membabitkan 1,344 pelajar sekolah menengah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 10:22 AM