ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK melakukan pemeriksaan terhadap beg tiruan dalam operasi serbuan.
ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK melakukan pemeriksaan terhadap beg tiruan dalam operasi serbuan.
Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Sepasukan anggota Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terpaksa menyamar berpakaian seperti pelancong asing bagi melepasi kawalan ketat tonto yang mengawal ‘lubuk’ menjual barangan tiruan.

Dalam operasi jam 11 pagi semalam, anggota KPDNKK Wilayah Persekutuan terbabit menyasarkan tiga lokasi utama di dua pusat beli-belah di Jalan Imbi dan Jalan Gelugor serta beberapa premis di Jalan Petaling, di sini, yang dikesan masih menjual produk cetak rompak.

Malah peniaga barangan tiruan itu dikesan turut mengadakan promosi diskaun bagi melariskan jualan produk seludup masing-masing.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, sepasukan anggotanya menyerbu enam premis perniagaan di kawasan itu hasil risikan sejak seminggu lalu.

Menurutnya, pegawai penguat kuasa KPDNKK terpaksa menyamar sebagai pengunjung terlebih dahulu berikutan kawasan itu dikawal ketat tonto.

“Siasatan mendapati premis yang diserbu menjual beg jenama terkemuka palsu antaranya jenama MCM, Gucci, YSL, Botega Venetta, Balenciaga dan Louis Vuitton.

“Harga setiap satu beg tulen diimport dari Eropah itu boleh mencecah puluhan ribu ringgit, namun sindiket menjual produk tiruan itu pada harga lebih murah untuk menarik pelanggan,” katanya.

Susulan itu anggota KPDNKK berjaya merampas 550 unit beg tangan pelbagai model yang dianggarkan bernilai RM42,676 berdasarkan harga pasaran semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 8:41 AM