penguat kuasa KPDNKK memeriksa beg tiruan di sebuah premis  di ibu kota.
penguat kuasa KPDNKK memeriksa beg tiruan di sebuah premis di ibu kota.
myMetro

Kuala Lumpur: Bukan tulen tetapi diperbuat dari negara jiran, itu antara beg tiruan yang berjaya dirampas dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Lorong haji Taib, semalam.

Dalam operasi jam 1 petang itu, beberapa pekerja kedai menjual beg tiruan jenama terkenal berkenaan hanya mampu tergamam apabila beberapa lelaki yang disangkakan pelanggan adalah pegawai penguat kuasa KPDNKK Putrajaya.

Difahamkan, pegawai KPDNKK terpaksa menyamar sebagai pelanggan berikutan kawasan itu dikawal ketat ‘tonto’ yang sering memantau pergerakan pihak berkuasa.

Susulan serbuan mengejut itu, KPDNKK berjaya merampas pelbagai beg berjenama terkenal antara Hermes, Bonia dan Longchamp.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, operasi dijalankan berdasarkan aduan daripada wakil cap dagang sah di negara ini dan risikan selama seminggu.

Katanya, dalam serbuan ini, sebanyak 378 beg tiruan pelbagai jenis dirampas dan disita kerana melanggar Akta Perihal Dagangan 2011.

“Jumlah barangan tiruan yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM4,536 berdasarkan kepada harga pasaran semasa.

“Ketika serbuan, ada beberapa pekerja yang berada di dalam premis berkenaan dan kita sudah mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Rosli berkata, premis terbabit didapati menjual beg tiruan pelbagai jenis dengan harga lebih murah berbanding harga produk tulen bagi menarik pelanggan.

“Premis yang menjalankan perniagaan runcit itu disyaki sudah beroperasi lebih dua tahun malah pernah beberapa kali diserbu. Namun pemiliknya masih tidak serik melakukan perbuatan sama,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) (B) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, peniaga boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap unit barangan atau dipenjara tidak lebih tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:13 AM