KHALEEDA (kanan) meninjau gerai pameran di PCMC, semalam.
KHALEEDA (kanan) meninjau gerai pameran di PCMC, semalam.

Kuala Lumpur: Pihak kerajaan dan swasta disarankan menyediakan sebuah bilik penyusuan di setiap pejabat bagi membantu golongan ibu yang bekerja.

Isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Khaleeda Bustamam berkata, di tempat bekerja harus ada bilik kecil untuk penyusuan dan ia perlu dilengkapi kemudahan sambungan elektrik untuk mengecaj peralatan mengepam, kerusi serta peti sejuk kecil untuk menyimpan bekalan susu.

“Kekurangan ruang di pejabat bagi golongan ibu di tempat kerja untuk mengepam susu antara isu berkaitan penyusuan bayi yang perlu diberi tumpuan.

“Pelaburan kecil berkenaan (menyediakan bilik penyusuan) secara tidak langsung memberi lebih motivasi dan galakan kepada golongan ibu bekerja untuk meneruskan penyusuan susu badan kepada bayi mereka sehingga berusia dua tahun,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup Minggu Penyusuan Ibu Sedunia anjuran bersama Herbaworks Healthcare dan Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) di ibu negara, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi PCMC Mahenthiran Thanapal, Ketua Pegawai Eksekutif Herbaworks Ikhwan Ilyas dan Duta Selebriti MaMom Diana Danielle.

Khaleeda berkata, sebagai ibu muda, beliau bersyukur kerana dapat memberi susu badan kepada puterinya namun tidak semua wanita mempunyai peluang berkenaan.

Kata beliau, ramai wanita berdepan masalah pada awal penyusuan, namun sebagai seorang ibu, ia satu proses untuk belajar.

“Jika tidak mampu memberi susu badan kepada bayi, jangan sesekali fikir anda gagal melaksanakan tanggungjawab.

“Dalam hal ini masyarakat juga tidak boleh terus menghukum wanita yang memilih untuk memberi bayi mereka susu formula berbanding susu badan. Selain itu, sokongan suami juga penting bagi membantu mental dan fizikal ibu dalam proses penyusuan bayi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:03 AM