IBU memerlukan sokongan untuk memulakan proses penyusuan badan daripada orang sekeliling.
IBU memerlukan sokongan untuk memulakan proses penyusuan badan daripada orang sekeliling.
Zaitie Satibi

Manfaat susu ibu bukan saja melindungi bayi daripada jangkitan gastrousus dan pernafasan, malah berpotensi mengurangkan risiko lelah klinikal, dermatitis atopik atau ekzema, obesiti, diabetes jenis II dan tekanan darah tinggi apabila bayi itu membesar.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyarankan supaya bayi diberikan susu badan secara eksklusif selama enam bulan pertama untuk tumbesaran, perkembangan dan kesihatan optimum, selain meneruskan penyusuan ini sehingga usia anak dua tahun sambil memberi makanan lain.

Namun, ramai ibu berdepan cabaran untuk mengamalkan saranan ini. Di Malaysia, statistik menunjukkan 98.1 peratus bayi berusia kurang enam bulan diberikan sejumlah susu badan, tetapi hanya 47.1 peratus daripadanya berjaya diberikan susu badan secara eksklusif.

Cabaran ini termasuk kesukaran ibu untuk memerah susu badan apabila kembali bekerja. Masalah di tempat kerja ini ketara apabila kita mengambil kira majoriti wanita dalam kelompok usia ibu muda turut bekerja. Dianggarkan 73.4 peratus wanita berumur 25 hingga 34 tahun dan 66.8 peratus wanita berusia 35 hingga 44 tahun adalah sebahagian daripada tenaga kerja di negara ini.

Pengurus Philips Malaysia Muhammad Ali Jaleel berkata, pihaknya membantu golongan ibu berkenaan memastikan anak mereka meraih manfaat susu ibu sejak lebih 30 tahun lalu menerusi produk inovasi yang membantu dalam penyusuan badan.

“Kami bekerjasama dengan pakar untuk menyokong perkongsian ilmu yang dapat membantu lebih ramai ibu memberikan penyusuan badan lebih lama. Setiap orang boleh memainkan peranan bagi memastikan pengalaman menyusu badan bagi semua ibu baru menjadi lebih mudah.

“Memperkasakan ibu berkenaan untuk penyusuan badan yang lebih lama bukan saja kerana nutrisinya lebih baik buat anak, ia turut memberi manfaat kepada majikan kerana bayi yang sihat bermakna ibu kurang mengambil cuti bagi menjaga anak yang sakit, justeru mengekalkan produktiviti.

“Dalam jangka panjang, anak yang diberikan susu badan biasanya menjadi dewasa yang lebih sihat, lalu negara juga meraih manfaatnya,” katanya bercakap mengenai kempen #AVENTsupportsbreastfeeding anjuran Philips sempena Minggu Menyusu Badan Sedunia 2017 yang disambut pada 1 hingga 7 Ogos setiap tahun.

Penyusuan badan boleh dianggap satu tugasan peribadi yang dilakukan sendirian, namun sistem sokongan yang baik amat penting bagi menjayakan proses ini. Kajian menunjukkan wanita yang meminta nasihat daripada pakar penjagaan kesihatan akan dapat meneruskan penyusuan badan bagi tempoh lebih lama.

Hampir 70 peratus wanita yang mengamalkan penyusuan badan sehingga 12 bulan mempunyai akses pada rundingan laktasi berbanding hanya 55 peratus daripada mereka yang berhenti menyusukan anak pada tiga bulan pertama.

Penyusuan badan adalah semula jadi, tetapi ibu memerlukan sokongan untuk memulakan proses berkenaan dan mengekalkan momentumnya. Ada kemungkinan si ibu akan berasa kecewa apabila berdepan kesukaran atau cabaran, tetapi mereka sewajarnya tidak keberatan untuk meminta pertolongan.

Muhamad Ali berkata, hakikatnya tekanan boleh menghalang kejayaan menyusu badan berikutan jumlah dan aliran susu badan berkait rapat dengan keadaan psikologikal dan tahap tekanan si ibu.

“Dalam satu kajian dijalankan Philips Avent, ibu didapati mengeluarkan lebih banyak susu dalam tempoh 10 hingga 15 minit selepas melakukan senaman pernafasan atau mendengar muzik.

“Bagi ibu yang gusar jika tidak memberi susu mencukupi pada bayi, mintalah bantuan kerana ada kajian menunjukkan hampir 50 peratus wanita berhenti memberikan anak susu badan dalam tempoh lapan bulan pertama kerana merasakan susunya tidak mencukupi. Pakar penjagaan kesihatan akan memberikan tip untuk relaks supaya ibu rasa lebih berkeyakinan,” katanya.

Katanya, meneruskan usaha penyusuan badan semasa tempoh yang disarankan bukan saja ada manfaat kesihatan ataupun dapat memupuk kemesraan, ia juga lebih ekonomi, mudah dan bersih tidak kira siang atau malam, baik di rumah mahupun ketika berada di luar.

“Ada yang berkata, tugas membesarkan anak itu tanggungjawab sekampung. Apa yang pasti, kita memerlukan sistem sokongan yang kukuh bagi memastikan golongan ibu berjaya menyusu badan,” katanya.

Panduan untuk membolehkan ibu berehat

1. Ambil alih tugas menjaga bayi daripada ibu. Ini termasuk menukar lampin hinggalah memandikan dan menidurkan bayi. Menjaga anak baru lahir memang meletihkan, jadi biar bapa, nenek atau penjaga profesional melakukannya.

2. Pastikan rumah sentiasa kemas dan bersih seperti disukai ibu. Rumah yang kotor dan bersepah pasti membuatkan fikiran berserabut dan memberi tekanan kepada ibu. Jadi, pastikan anda membantu supaya si ibu boleh bersantai.

3. Merencana menu harian, menyediakan dan memasak hidangan boleh memakan masa lama. Tugasan intensif yang tidak patut dibebankan kepada ibu baru. Seperti menjaga bayi, ahli keluarga atau penjaga profesional boleh membantu. Ada sesetengah makanan yang patut dielak oleh ibu tetapi pastikan anda bertanya mengenai menu yang disukainya. Memaksa ibu makan dan minum sesuatu yang tidak disukainya pasti menambah tekanan dan memberi impak negatif pada sesi penyusuan badan.

4. Ibu perlukan diet sihat dan nutrisi baik untuk memulihkan tenaga. Proses penyusuan badan membakar 500 kalori sehari, jadi ibu perlu makan jumlah kalori dan nutrien yang disarankan .

5. Mengambil snek bernutrisi antara hidangan lengkap turut membantu. Makanan kaya zat besi seperti daging, telur kuning dimasak dan sayuran daun hijau boleh melegakan keletihan, manakala vitamin C membantu tubuh untuk menyerap zat besi daripada makanan. Jadi jangan lupa mengambil makanan seperti buahan sitrus, tomato dan kentang.

6. Ada pandangan mengatakan sesetengah makanan tidak sesuai kerana nutrien terkandung boleh diserap oleh bayi menerusi susu badan, membuatnya kembung, menunjukkan simptom kolik malah cirit-birit. Makanan pedas, bawang putih dan bawang merah mentah berlebihan selain kafein antara makanan dan minuman yang patut dielakkan. Lebih penting, sentiasa rujuk kepada pakar kesihatan anda untuk diet terbaik buat ibu dan bayi.

Sokongan tambahan

Si ibu mungkin risau mengenai penyusuan badan yang berterusan selepas kembali bekerja. Inilah masanya pihak pengurusan syarikat dan rakan sekerja boleh memainkan peranan penting dalam menyokong penyusuan badan.

1. Pastikan si ibu ada akses kepada ruang yang tenang seakan di rumah untuk membolehkannya mengepam susu badan. Sediakan peti sejuk khas hanya untuk menyimpan susu badan. Kajian menunjukkan kakitangan yang diberi akses kepada bilik menyusu dua kali ganda lebih berkemungkinan akan meneruskan penyusuan badan melebihi enam bulan.

2. Bagi rakan sekerja, amalkan sikap positif terhadap ibu yang menyusu badan. Jangan anggap mengepam susu badan sebagai gangguan atau aktiviti menyukarkan. Kita patut faham bahawa para ibu berkemungkinan menghadapi cabaran apabila menyusu badan.

3. Jika anda ada teman yang baru menjadi ibu, ambil kira lokasi yang mesra bayi dan menyusu badan bila keluar bersamanya. Atau sekurang-kurangnya, lokasi yang ada menyediakan kemudahan di mana ibu boleh mengepam dan menyimpan susu

badan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 1:08 PM