KAMAL (kiri) bersama peserta  membetulkan Jalur Gemilang yang dipasang di bangsal sempena Pesta Pantai.
KAMAL (kiri) bersama peserta membetulkan Jalur Gemilang yang dipasang di bangsal sempena Pesta Pantai.
Nazdy Harun

Kuala Nerus: Pesta Pantai amat sinonim dengan kehidupan rakyat Terengganu namun tradisi berkampung di tepi pantai terutama selepas waktu menuai padi dalam kalangan penduduk setempat kini kian terhakis.

Bagaimanapun, penduduk dari empat kampung di daerah ini kembali menganjurkannya bermula Jumaat lalu hingga 1 September ini dengan berkampung di tepi Pantai Rest House Pengkalan Atap, Batu Rakit untuk menggamit semula memori dan mengetengahkan tradisi yang kian dilupakan itu.

Kebetulan tarikh penganjurannya pada bulan kemerdekaan dan Hari Kebangsaan Ke-59, bangsal yang mereka bina daripada daun kelapa, buluh dan kayu itu dihiaskan dengan Jalur Gemilang.

Walaupun dalam keadaan berpesta dan bersantai tetapi pesertanya tetap menunjukkan semangat patriotik mengibarkan Jalur Gemilang pada bangsal masing-masing. Beberapa aktiviti berkaitan sambutan Hari Kebangsaan turut dirancang.

Pengerusi Pesta Pantai, Kamal Zakaria, 49, berkata, sebanyak 48 bangsal dibina membabitkan seramai 400 peserta terdiri daripada penduduk Kampung Padang Kemunting, Gelung Gajah, Tanjung Kedepan dan Pancur Kuin.

Menurutnya, tradisi pesta pantai sudah lama diadakan di negeri itu dan pihaknya difahamkan sudah lebih daripada 100 tahun.

Katanya, pesta pantai yang diadakan tahun ini amat istimewa apabila ia diadakan secara kebetulan dengan sambutan bulan kemerdekaan.

“Selain mengadakan aktiviti kebudayaan seperti dikir barat, wayang kulit, sukaneka permainan tradisional, kami juga akan mengadakan program menjelang 31 Ogos.

“Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit juga dijadual diadakan di sini pada 31 Ogos jam 5 petang.

Menurutnya, sebanyak 70 Jalur Gemilang dikibarkan di bangsal dan pihaknya menambah lagi dari semasa ke semasa menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

“Pesta Pantai yang diadakan ini bukan hanya sebagai satu tradisi tempatan tetapi merupakan satu pendekatan yang boleh diguna pakai bagi mengeratkan silaturahim, saling membantu dengan bergotong-royong dan mengetengahkan budaya masyarakat Terengganu,” katanya.

Menurut Kamal, pihaknya menggunakan sebanyak 1,350 pelepah kelapa dan 70 batang kayu serta buluh untuk membina bangsal di pesta itu.

Katanya, setiap bangsal yang dibina itu juga dialas dengan kanvas bagi mengelak peserta dibasahi sekiranya hujan.

“Peserta akan berkampung di kawasan Pantai Rest House Pengkalan Atap ini selama tujuh hari dengan melakukan pelbagai aktiviti harian termasuk memasak dan membasuh pakaian di kawasan itu.

“Semangat berpasukan amat perlu dalam mengendalikan pesta pantai kerana banyak tenaga dan komitmen diperlukan dalam menjayakan program seperti itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 8:54 AM