MUSA mengayuh basikal klasik dengan mengenakan pakaian menggunakan Jalur Gemilang ketika menyertai Seri Menanti Funride  Merdeka@Komuniti di padang awam Seri Menanti. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
MUSA mengayuh basikal klasik dengan mengenakan pakaian menggunakan Jalur Gemilang ketika menyertai Seri Menanti Funride Merdeka@Komuniti di padang awam Seri Menanti. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Khidir Zakaria


LENGKAP berpakaian baju berkonsepkan Jalur Gemilang dan menaiki basikal klasik, itu antara aktiviti peserta Program Seri Menanti Fun Ride @ Komuniti di Padang Awam Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.

Program yang disertai 270 peserta itu mencuri tumpuan ramai apabila mereka mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang kayuhan 20 kilometer itu.

Dalam program itu, peserta turut dapat menikmati keindahan lima kampung tradisi di Kuala Pilah iaitu Kampung Gamin, Kampung Lapor Tengah, Kampung Ulu Pilah dan Kampung Sakai.

Peserta, Musa Sidek, 57, berkata setiap tahun dia menyertai acara tahunan itu kerana mahu meluahkan rasa bangga kepada negara sempena bulan kemerdekaan.

"Tahun ini persiapan saya bukan setakat basikal tua tetapi berjaya menyiapkan pakaian yang diperbuat daripada Jalur Gemilang sempena meraikan detik bersejarah ini.

"Pakaian ini juga akan saya pakai sepanjang tahun ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Kuala Pilah, Shahruddin Daud berkata, objektif utama adalah untuk menggalakkan sambutan Bulan Kemerdekaan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sempena Bulan Kemerdekaan, pelbagai inisiatif dilakukan bagi memastikan kemeriahan sambutan ini.

"Program bercorak sosial menyemarakkan semangat cintakan negara dengan mengumpulkan peminat sukan berbasikal dan ia mendapat sambutan penduduk tempatan yang memeriahkan suasana," katanya.

Program itu adalah anjutan Jabatan Penerangan Daerah Kuala Pilah dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Menanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 5:27 PM