SEBAHAGIAN peserta Pesta Rakit Larut 2017.
SEBAHAGIAN peserta Pesta Rakit Larut 2017.
Nor Raidah Awang


Selama: Pesta Rakit Larut 2017 yang berlangsung di Sungai Bayor, di sini, semalam dicatat dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai penyertaan paling ramai dalam pertandingan rakit.

Acara tahunan yang memasuki edisi kelima itu membabitkan penyertaan 1,048 peserta dalam dua kategori iaitu perlumbaan rakit dan rakit berhias terbuka kepada orang awam serta agensi kerajaan.

Penganjuran pesta itu berjaya menarik hampir 15,000 pengunjung memeriahkan acara membabitkan laluan Sungai Siputih

dan Sungai Bayor sejauh 7 kilometer bermula dari Kampung Teluk Mas hingga pekan Sungai Bayor.

Program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Larut dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Perbadanan Harta Intelek

Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan JL 99 Group itu dirasmikan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata, penganjuran kali ini lebih istimewa kerana pihak MBOR dipanggil bagi mengiktiraf acara itu sebagai penyertaan paling ramai dalam pertandingan rakit.

“Jumlah penyertaan dalam Pesta Rakit Larut 2017 ini mencatatkan penyertaan sebanyak 256 rakit membabitkan kategori rakit laju dan rakit berhias.

“Pada tahun ini kita juga membuat kelainan dengan mengadakan kategori untuk pelajar sekolah dari seluruh Perak sebagai satu program kokurikulum serta beberapa sukan air lain bagi memeriahkan acara,” katanya ketika ditemui selepas melepaskan

peserta pertandingan rakit di Kampung Teluk Mas, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, antara tujuan utama penganjuran pesta rakit berkenaan adalah bagi memperkenalkan Selama selain merapatkan silaturahim antara masyarakat setempat serta mengekalkan tradisi penggunaan rakit.

“Kita akan pertahankan penggunaan rakit yang dibuat menggunakan buluh ini agar generasi muda mengenali dan tidak melupakannya.

“Selain itu, pesta ini juga dapat menarik pengunjung dari seluruh Perak dan negeri berhampiran serta penyertaan peserta dari seluruh negara.

“Ia sekali gus memberi peluang kepada penduduk setempat menjalankan perniagaan untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.

Dalam pertandingan itu, bagi kategori rakit laju orang awam dimenangi pasukan Sungai Berdarah dari Sungai Bayor yang juga juara bertahan.

Manakala kategori rakit laju agensi kerajaan dimenangi KPDNKK Kelantan yang turut menjuari kategori rakit berhias dengan johan setiap kategori membawa pulang wang tunai RM2,500.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 7:50 AM