Asmizal Jaafar  menunjukkan buah cinta dan buah lemak manis pada Jualan Terus dari Ladang di Bangunan FAMA, Bandar Baru Selayang.
Asmizal Jaafar menunjukkan buah cinta dan buah lemak manis pada Jualan Terus dari Ladang di Bangunan FAMA, Bandar Baru Selayang.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Selayang: Lebih 5,000 pengunjung mengunjungi program jualan hasil pertanian terus dari ladang, MyBest Buy anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di pekarangan ibu pejabatnya, di sini, semalam.

Meskipun gerai jualan hanya dibuka jam 8 pagi, namun seawal jam 6 pagi, pengunjung beratur menunggu di depan pintu pagar bangunan berkenaan.

Kebanyakan pengunjung tidak mahu ketinggalan untuk membeli buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan, duku, cempedak, jagung serta sayur-sayuran dengan harga jauh lebih murah berbanding pasaran semasa.

Durian misalnya dijual pada harga bermula RM5 sekilogram manakala rambutan RM10 untuk tiga kilogram dan jagung manis sepeket 12 biji pada harga RM10.

Selain itu, program jualan kali ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana buah-buahan nadir turut dijual kepada pengunjung termasuk buah tarap, bambangan, buah lemak manis dan buah cinta yang dibawa khas dari Sabah serta buah jentik-jentik dari Kedah.

Pegawai FAMA Daerah Sandakan Arwan Yakung berkata, pihaknya membawa tiga tan buah-buahan dari negeri berkenaan dan terkejut kerana habis dijual dalam masa kurang tiga jam.

Menurutnya, buah tarap yang manis dan lembut biasanya boleh didapati di daerah Ranau, Tongod, Nabawan, Kudat atau Kota Belud saja dan memang sukar diperoleh di tempat lain.

Arwan berkata, sambutan diterima sungguh luar biasa kerana buah-buahan itu bukan saja dibeli rakyat Sabah yang bekerja di Lembah Klang, malah oleh orang Kuala Lumpur sendiri.

“Daripada empat jenis buah dibawa, buah tarap dan buah bambangan paling laris kerana sehingga petang, masih ramai pengunjung bertanyakan buah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:16 AM