mahasiswa serta pegawai   UTM  bergambar setibanya di KLIA.
mahasiswa serta pegawai UTM bergambar setibanya di KLIA.
Siti A’isyah Sukaimi


Sepang: Sejak 15 tahun lalu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak pernah merangkul juara pada pertandingan tahunan ABU Asia-Pacific Robot Contest (ROBOCON), namun institusi pengajian tinggi berkenaan sentiasa yakin dengan kebolehan penuntut serta pensyarahnya.

Akhirnya, Ahad lalu, sejarah tercipta apabila UTM dinobatkan juara pertandingan ROBOCON 2016 di Bangkok, Thailand.

UTM yang diwakili enam penuntut dibimbing pensyarah, Ir Dr Mohd Ridzuan Ahmad serta penuntut lain yang bertanggungjawab daripada aspek teknikal.

Kesemuanya penuntut Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Fakulti Pengkomputeran (FC) dan Fakulti Pendidikan.

Wakil peserta, Lim Wen Jin, 21, berkata, saat paling tidak dapat dilupakan ialah apabila perlu mengulang semula pertandingan pada peringkat akhir ketika bertemu dengan pasukan dari China disebabkan masalah teknikal.

“Walaupun letih selain berdepan dengan masalah, kami tetap fokus dan berusaha sedaya upaya untuk memberi yang terbaik.

“Penat lelah itu berbaloi apabila juri mengumumkan keputusan berpihak kepada Malaysia dan sudah tentu kami gembira kerana ini julung kali UTM menjuarai ROBOCON,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari Bangkok, jam 9.20 malam tadi.

Hadir menyambut kepulangan mereka ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Mahasiswa, Kementerian Pendidikan Prof Madya Dr Sopian Bujang dan Pengarah Kampus UTM Kuala Lumpur Prof Dr Durrishah Idrus.

Menerusi pertandingan itu, Malaysia menewaskan India pada suku akhir dan Indonesia di peringkat separuh akhir untuk bertemu China yang menewaskan Vietnam serta Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 6:50 AM