KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz (kiri) menyampaikan plak penghargaan kepada Saravanan.
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz (kiri) menyampaikan plak penghargaan kepada Saravanan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemandu tren Saravanan Subramaniam, yang dijulang sebagai wira kerana tindakan pantasnya membantu mengelak kegelinciran tren semasa dipinjamkan ke MRT Purple Line Bangkok, Thailand tahun lalu, dijulang sebagai staf terhebat Kumpulan Prasarana untuk 2017.

Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan berkata, Saravanan yang juga penerima Anugerah Khas Staf Rail daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Majlis Anugerah Industri Oktober lalu mengatasi empat pencalonan lain dalam senarai akhir kategori Pujian Awam untuk Anugerah PEARL atau Prasarana Employee Appreciation and Recognition for Life pada majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra Jumaat lalu.

Sementara itu, pasukan yang bertanggungjawab menghasilkan program khas ‘Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) Hiring & Webinar Cloud Hosting’ untuk urusan pengambilan dan pengurusan staf secara dalam talian terpilih menerima anugerah kategori Pematuhan Nilai-Nilai Murni Prasarana.

Lapan anggota berkenaan ialah Nurul Haszeli Ahmad, Mohd Nizar Abd Azik, Hazrul Nizzam Sidek, Mohd Abdul Hanan, Suhaimi Maidin, Anuar Mustafa, Muhammad Nor Hafiz Yaacob, Shek Mohd Fahmi dan Allahyarham Amiza Abdul Aziz yang meninggal dunia ketika bertugas di Makkah menjelang bermulanya operasi MMMSL tahun ini.

Mengimbas kembali insiden pada Mac 2016 itu, Saravan berkata, beliau yang memandu tren MRT Bangkok Purple Line, yang ketika itu dalam tempoh Pengujian dan Pentauliahan atau ‘Testing & Commissioning’ sebelum digunakan untuk perkhidmatan, segera memberhentikan tren untuk pemeriksaan lanjut sebaik saja merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada pergerakan tren.

Tindakan pantas beliau menyelamatkan tren daripada tergelincir dari landasan kerana tren itu sememangnya mempunyai masalah teknikal.

Pada Malam Penghargaan Prasarana yang diadakan buat julung kali itu, Prasarana turut memberi penghargaan kepada pesara dan pemenang pelbagai pertandingan inovasi Innovative & Creative Circle, yang diadakan di dalam dan luar negara. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 5:39 AM