BERNAMA

Rompin: Walaupun berat ujian diterima, Abu Bakar Ibrahim reda dengan kehilangan tiga anak lelakinya yang berselang hampir satu jam antara satu sama lain akibat kemalangan semalam.

Pada kejadian 7.20 malam itu, Muhammad Firdaus, 28, Muhammad Solihin, 21, dan Ahmad Jazuly, 17, maut selepas lori dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebuah kren di Kilometer 136 Jalan Kuantan/Johor Bharu di sini.

Abu Bakar, 54, yang ketika kejadian berada di Terengganu atas urusan kerja berkata, dia mendapat panggilan telefon isterinya Norezah Rejab, 51, sekitar 7.30 malam memaklumkan anak ketiga mereka Muhammad Solihin meninggal dunia.

"Hampir satu jam selepas itu, saya terima berita Along (Muhammad Firdaus) juga meninggal dunia sebelum disusuli panggilan ketiga memberitahu Ucu (Ahmad Jazuly) juga sudah tiada, sejam kemudian," katanya semasa ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Setajam di sini hari ini.

Abu Bakar juga sebak apabila memaklumkan tragedi itu berlaku pada ulang tahun kelahiran Ahmad Jazuly dan anak keempat itu ada menghantar pesanan WhatsApp untuk mengingatkannya tentang hari istimewa tersebut selain turut meminta kasut sebagai hadiah.

Muhammad Solihin yang JUGA penuntut tahun akhir jurusan kejuruteraan mekanikal di Politeknik Muadzam Shah di sini, juga ada menghantar WhatsApp kepada Abu Bakar pada 5.10 pagi semalam, kerana mahu meminta doa untuk peperiksaan tidak lama lagi.

"Memang menjadi kebiasaan untuk dia meminta doa setiap kali hendak periksa, cuma semalam dia beritahu berasa sangat tenang," katanya.

Muhammad Solihin tinggal di asrama dan menurut Abu Bakar, kali terakhir mereka bertemu ialah hujung Mei lepas, apabila anaknya pulang ke rumah dengan meminjam motosikal rakan supaya dapat berjumpa sebelum dia ke Terengganu.

Arwah pulang ke rumah semalam, memandangkan dia tidak mempunyai kertas peperiksaan atau tugasan lain pada hari ini.

Sementara itu, adik bongsu mangsa Nur Faqihah, 16, berkata, kejadian berlaku semasa abangnya dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Sungai Kolek di sini, selepas membantu ibu mereka mengangkat benih padi di sawah yang diusahakan di Kampung Setajam.

Katanya, ibu mereka juga pergi bersama, namun memandu kereta sendiri dan semasa kejadian, agak ketinggalan daripada lori dinaiki abang-abangnya kerana berhenti mengisi minyak.

"Saya tak sangka Along (Muhammad Firdaus) ada dalam lori kerana semasa pergi, dia bersama emak... Along memang suka membantu dan kerap mengikut emak ke sawah walaupun dia Orang Kurang Upaya (OKU) selain paling manja dengan emak," katanya.

Nur Faqihah berkata mereka merancang untuk makan istimewa pada malam semalam sempena hari jadi Ahmad Jazuly dan ibunya menyediakan kari ayam kegemaran arwah sebagai juadah tengah hari yang sempat dijamah arwah sebelum ke sawah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 3:20 PM
PENGEBUMIAN tiga beradik maut kemalangan di Tanah Perkuburan Kampung Setajam, Kuala Rompin. FOTO Farizul Hafiz Awang
PENGEBUMIAN tiga beradik maut kemalangan di Tanah Perkuburan Kampung Setajam, Kuala Rompin. FOTO Farizul Hafiz Awang