ZAHID  (kiri)  disambut pegawai Kedutaan Malaysia dan Wisma Putra ketika  lawatan pertamanya sebagai Timbalan Perdana Menteri ke New Delhi, semalam.
ZAHID (kiri) disambut pegawai Kedutaan Malaysia dan Wisma Putra ketika lawatan pertamanya sebagai Timbalan Perdana Menteri ke New Delhi, semalam.

New Delhi: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu berkaitan ekonomi, pelancongan, pendidikan, tenaga kerja dan teknologi ketenteraan adalah antara 10 perkara yang akan dibincangkan bersama pemimpin India dalam lawatan kerja tiga hari beliau ke negara ini.

Ahmad Zahid berkata, lawatan sulung beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke India yang bermula semalam menzahirkan komitmen serta hubungan diplomatik yang akrab antara Malaysia dan India yang terjalin sejak 1957.

“Lawatan ini bukan sahaja untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik kita, malah turut membabitkan hubungan kerajaan dengan kerajaan, perniagaan dengan perniagaan dan rakyat dengan rakyat kedua-dua negara. Dari segi diplomasi, ia menunjukkan betapa seriusnya kita untuk mewujudkan situasi menang-menang dalam kedua-dua cara.

“Kedua-dua negara akan turut merayakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun depan. Kebetulan pula, India akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India ke-25 tahun depan,” katanya kepada media Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut berkaitan pelancongan, Ahmad Zahid berkata memandangkan Malaysia menerima kedatangan lebih 700,000 pelancong India setahun, Malaysia akan mempermudahkan pelaksanaan dan proses permohonan menerusi sistem e-visa yang akan dilancarkan secara rasmi di sini semasa lawatan beliau sejak sistem itu diperkenalkan di Malaysia pada April lalu.

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia memperkenalkan ‘Electronic Travel Authorization Visa’ (e-visa) bagi lawatan singkat ke Malaysia dan ia sah bagi perjalanan sehala dengan tempoh tinggal maksimum 30 hari di Malaysia bagi tujuan pelancongan.

Berhubung tenaga kerja, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan menerima permohonan daripada peserta industri untuk meningkatkan jumlah pekerja terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pengeluaran.

“Isu ini sensitif. Justeru, lebih baik untuk kita memperincikannya sebelum kita mencapai serta memuktamadkan sebarang keputusan,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 10:41 AM