AHMAD Adnan memeriksa kenderaan Thailand yang membawa muatan lebih.
AHMAD Adnan memeriksa kenderaan Thailand yang membawa muatan lebih.
myMetro

Sungai Petani: Kenderaan negara jiran dikesan gemar memasuki negara ini pada lewat malam bagi mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa kerana membawa lebih muatan selain memandu melebihi had laju ditetapkan.

Tindakan pemandu terbabit dikesan oleh anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang menjalankan operasi sempena Op Selamat 9/2016 di Kilometer 99.6 arah selatan dan Kilometer 99.8 arah utara Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sungai Lalang, di sini, awal pagi semalam.

Komander Subtek Op Selamat Zon Utara JSPT Bukit Aman Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya menahan beberapa kenderaan negara jiran yang didapati membawa lebih muatan lebih selain dipandu laju.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pikap terbabit membawa muatan sayuran untuk dihantar ke Singapura dan ada antaranya turut memiliki enam saman membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan.

“Selain itu, beberapa van penumpang dari negara jiran turut ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dan semua kenderaan terbabit disaman.

“Berdasarkan pemantauan, kita mendapati kenderaan negara jiran gemar memasuki negara ini pada lewat malam kerana mereka menyangka tiada pihak akan menahan atau mengganggu mereka biarpun membawa lebih muatan lebih dan memandu melebihi had laju,” katanya ketika ditemui, di sini.

Operasi bermula dari jam 10 malam kelmarin hingga 2 pagi semalam membabitkan lima pegawai dan 60 anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 9:38 AM