PERDANA Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas majlis Perasmian Mesyuarat Menteri-menteri Asean mengenai Pengurusan Bencana ke-6 di Hotel Marriott Putrajaya. - FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR
PERDANA Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas majlis Perasmian Mesyuarat Menteri-menteri Asean mengenai Pengurusan Bencana ke-6 di Hotel Marriott Putrajaya. - FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Azura Abas dan Irwan Shafrizan Ismail


“SEBARANG usaha bagi membantu mangsa bencana tanpa koordinasi dan perancangan strategik hanya akan mengakibatkan keadaan lebih kucar-kacir,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, susulan itu, Jawatankuasa ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) perlu memainkan peranan besar dalam melakukan koordinasi untuk penyaluran bantuan kepada kerajaan Indonesia berikutan bencana gempa bumi dan tsunami yang menimpa Sulawesi.

Beliau yakin setiap negara anggota ACDM mempunyai badan pengurusan bencana masing-masing yang berhasrat untuk menyalurkan bantuan kepada Indonesia.

“Walaupun tragedi ini amat menyedihkan, dan kita sebagai jiran tidak mahu duduk di tepi tidak berbuat apa-apa, tetapi sebarang usaha tanpa koordinasi dan perancangan strategik akan mengakibatkan keadaan lebih kelam-kabut.

“Daripada kita membantu, kita berkemungkinan menyusahkan penyelamat lain, adalah amat jelas ACDM mempunyai peranan penting untuk melakukan koordinasi ini," katanya ketika berucap bagi merasmikan Mesyuarat ACDM ke-33 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana ke-6 di Putrajaya, hari ini.

PERDANA Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad menyaksikan penyerahan sumbangan Bantuan Bencana Kemanusiaan Palu Sulawesi diserahkan oleh timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada wakil kedutaan Indonesia ketika majlis Perasmian Mesyuarat Menteri-menteri Asean mengenai Pengurusan Bencana ke-6 di Hotel Marriott Putrajaya. - FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR
PERDANA Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad menyaksikan penyerahan sumbangan Bantuan Bencana Kemanusiaan Palu Sulawesi diserahkan oleh timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada wakil kedutaan Indonesia ketika majlis Perasmian Mesyuarat Menteri-menteri Asean mengenai Pengurusan Bencana ke-6 di Hotel Marriott Putrajaya. - FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR

Perdana Menteri kemudian turut menyaksikan penyerahan bantuan kemanusiaan RM1 juta kepada mangsa bencana Palu, Sulawesi.

Replika cek itu diserahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada wakil kerajaan Indonesia.

Pada 28 September lalu, kejadian gempa bumi di Sulawesi pada magnitud 7.5 skala richter dan diikuti dengan tsunami mengakibatkan sehingga lebih 1,200 orang dilaporkan terkorban.

Bencana itu turut mengakibatkan bekalan elektrik serta perhubungan terputus di sekitar bandar itu selain Donggala, wilayah yang paling dekat dengan pusat gempa bumi iaitu sejauh 27 kilometer.

Dr Mahathir berkata, bagi pihak Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang melakukan koordinasi bersama agensi berkaitan dan bersedia untuk menghantar pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta bantuan kemanusiaan kepada kerajaan Indonesia.

“Kita harus menerima hakikat bahawa kita terdedah kepada ancaman bencana seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi, tsunami dan taufan yang boleh memusnahkan serta memberi kesan jika sesebuah negara tidak mendapat bantuan daripada negara jiran dan masyarakat global.

“Hampir separuh bencana di dunia berlaku di Asia, menjadikan rantau ini sebagai lokasi di dunia yang paling kerap terdedah kepada bencana. Berdasarkan data global dari 2000 hingga 2017, rantau Asia Pasifik mencatatkan 45 peratus bencana global, 60 peratus kematian akibat bencana global dan 85 peratus penduduk terjejas.

“Risiko bencana perlu diambil secara serius berikutan impak dan kesannya terhadap kehidupan masyarakat dan pembangunan sesebuah negara,” katanya

Berkaitan cadangan e-Kapsul Masa ke arah ASEAN yang lebih berdaya tahan, Dr Mahathir berkata, ia mungkin mengambil kira keadaan keseluruhan kitaran bencana di ASEAN dengan merujuk kepada Indeks Risiko Sedunia atau mana-mana penunjuk lain yang diterima secara global.

“Ia boleh dibuka seawal 2025, sejajar dengan Visi ASEAN 2025 atau pada tahun 2030 untuk perbandingan dengan Rangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 12:57 PM