Mohd Ali (dua kiri) menunjukkan daun ketum yang direbus pada sidang media di IPD Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Ali (dua kiri) menunjukkan daun ketum yang direbus pada sidang media di IPD Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Farah Suhaidah Othman


POLIS merampas 440 bungkus air ketum dan 30 kilogram (kg) daun ketum dengan nilai keseluruhan RM2,500 dalam serbuan di sebuah rumah dua tingkat di Taman Pakatan Jaya, Ipoh, semalam.

Serbuan 11 malam oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berjaya menahan lima lelaki berusia 25 hingga 35 tahun yang sedang memproses daun ketum.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, polis menyerbu lokasi berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam dan hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki berada di ruang tamu sedang membungkus air ketum.

Katanya, pemeriksaan lanjut di belakang rumah mendapati dua lagi lelaki sedang merebus daun ketum.

“Dalam serbuan itu, polis merampas empat bakul mengandungi 440 bungkusan plastik dipercayai air ketum, empat bakul daun ketum dengan jumlah keseluruhan seberat 30kg.

“Turut dirampas dua periuk besar dipercayai daun ketum yang sedang dimasak selain alat digunakan untuk memproses daun ketum termasuk penimbang, tong gas dan dapur memasak,” katanya pada sidang media di IPD Ipoh hari ini.

Mohd Ali berkata, siasatan awal mendapati kelima-lima lelaki dipercayai diupah untuk memproses daun ketum itu dengan bayaran sehingga RM3,000.

“Hasil soal siasat mendapati individu berkenaan terbabit dalam kegiatan memproses daun ketum sejak beberapa bulan lalu dan memperoleh daun ketum daripada pembekal sebelum diproses.

“Daun ketum yang diproses itu dipercayai adalah untuk pasaran di bandar ini,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 7:20 PM