Khairussaleh (kiri) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Perbankan Runcit RHB, U Chen Hock melancarkan aplikasi RHB Pay Anyone, semalam.
Khairussaleh (kiri) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Perbankan Runcit RHB, U Chen Hock melancarkan aplikasi RHB Pay Anyone, semalam.
Wan Nur Ameera Meor Rozman


Kuala Lumpur: RHB Banking Group (RHB) menyasarkan untuk mencapai peningkatan sehingga 100,000 pengguna aktif perbankan mudah alih dalam tempoh setahun dari sekarang menerusi pengenalan platform mudah alih terbarunya, RHB Pay Anyone.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, sehingga kini ada dua juta pelanggan perbankan mudah alih namun hanya 300,000 saja yang aktif menggunakan sistem berkenaan.

“RHB Pay Anyone adalah yang pertama di pasaran membolehkan pengguna mengirim wang kepada keluarga, rakan dan sesiapa sahaja dengan hanya menggunakan nombor mudah alih, e-mel atau Facebook tanpa memerlukan nombor akaun.

“Bagi pihak penerima pula, mereka mempunyai pilihan menerima amaun transaksi melalui akaun RHB atau mana-mana akaun bank yang lain,” katanya pada majlis sidang media pelancaran RHB Pay Anyone, di sini, semalam.

Beliau berkata, sementara RHB Now Mobile Banking App menyediakan pelanggan dengan platform mudah, cepat dan lancar untuk menguruskan transaksi perbankan mereka.

“Keupayaan baru yang dipertingkatkan ini memenuhi permintaan gaya hidup pelanggan masa kini. Malah, inisiatif ini pencapaian penting dalam perjalanan digital syarikat, selain komitmen menjadi bank digital generasi akan datang,” katanya.

Selain itu, aplikasi terbabit menawarkan penyelesaian perbankan mudah alih yang lain seperti kemudahan tambah nilai prabayar, pembayaran bil, melihat ringkasan akaun serta menyediakan ciri perkhidmatan unik iaitu merakam gambar selfie untuk dijadikan sebagai sebagai gambar profil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 8:52 AM