Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Mohd Khidir Zakaria


BAYI perempuan yang ditemui ditinggalkan dalam kotak depan pagar sebuah rumah di Lukut, Port Dickson semalam, meninggal dunia di Hospital Port Dickson (HPD) malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, bayi itu disahkan meninggal dunia pada 9.05 malam.

“Polis menerima laporan daripada hospital mengenai kematian bayi itu.

“Bagaimanapun, punca kematian tidak dinyatakan kerana bayi itu pra matang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan ibu bayi itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan, wanita yang mahu membuang sampah dikejutkan dengan penemuan bayi perempuan ditinggalkan dalam kotak di depan pagar rumahnya di Lukut, Port Dickson, 10.15 pagi.

Wanita berusia 44 tahun itu kemudian membuka kotak berkenaan dan menemui bayi perempuan masih bertali pusat, dibalut menggunakan kain pelikat dan uri masih berada dalam kotak.

Berita berkaitan

Bayi baru lahir dalam kotak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 3:38 PM