Peserta yang menyertai program Larian Keluarga Hari Sarapan Pagi bersama MILO di padang Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Peserta yang menyertai program Larian Keluarga Hari Sarapan Pagi bersama MILO di padang Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Satu daripada empat murid dan pelajar sekolah didapati kurang cergas kerana sikap sambil lewa ibu bapa yang tidak menyediakan sarapan.

Pengurus Pemakanan Korporat Nestle (Malaysia) Berhad Cher Siew Wei berkata, maklumat itu diperoleh menerusi kajian MyBreakfast Study yang dijalankan dalam kalangan 8,705 murid dan pelajar sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata, kajian membuktikan individu tidak bersarapan memiliki tahap aktiviti fizikal lebih rendah berbanding kanak-kanak mengambil minuman malt.

Menurutnya, bagi mengatasi perkara berkenaan, MILO yang menjadi pilihan minuman malt dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat mengambil inisiatif mendedahkan kepentingan bersarapan dalam Program Johor Kekal dengan Hari Sarapan Malaysia bersama MILO.

Katanya, antara pengisian program itu adalah mendidik masyarakat dengan kepentingan bersarapan selain demonstrasi menyediakan sarapan yang hanya memakan masa lima minit hingga 20 minit.

“Kami pasti selepas ini lebih ramai bersemangat menyediakan sarapan bagi keluarga masing-masing dan tidak menjadikan alasan sibuk bekerja untuk tidak berbuat demikian,” katanya pada sidang media sempena Program Johor Kekal dengan Hari Sarapan Malaysia bersama MILO di Padang Perbandaran Pasir Gudang, semalam.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan program itu di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang pada 15 Mei depan, Padang Merdeka Kuching, Sarawak (22 Mei) dan Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya (29 Mei).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 8:17 AM