Shahdee sedang beramah mesra dengan pengunjung di Perpustakaan Digital Kedah, di Taman Jubli Perak. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Shahdee sedang beramah mesra dengan pengunjung di Perpustakaan Digital Kedah, di Taman Jubli Perak. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pembukaan Perpustakaan Digital Kedah (PDK) di Taman Jubli Perak, di sini, sejak Januari lalu berjaya membawa fasa baharu evolusi perpustakaan kepada penduduk negeri ini.

Ketua Bahagian Pembangunan Modal Insan, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datin Shahdee Ahmad berkata, PDK dibangunkan membabitkan kos RM15 juta termasuk bagi pembinaan bangunan baharu yang dijangka siap September ini.

Katanya, pelbagai kemudahan disediakan di perpustakaan berkenaan termasuk tempat belajar, bilik mesyuarat dan bilik permainan ilmiah yang menggalakkan pembelajaran secara digital.

"Model PDK ini diambil daripada Perpustakaan Digital Pulau Pinang selaras dengan hasrat kerajaan mengurangkan jurang digital dan ilmu dalam kalangan rakyat Kedah.

"Ia juga menjadi pemangkin kepada penggunaan e-sumber dan e-pembelajaran dengan prasarana moden serta ruang perkembangan kreativiti dan inovasi melalui peralatan elektronik dan akses wifi ," katanya ketika ditemui selepas melawat PDK, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Shahizan Affandi Zakaria.

Bagi perancangan masa depan, Shahdee berkata, pihaknya akan membuka sebuah lagi perpustakaan digital di Perak dan usaha mencari tapak bersesuaian sedang dijalankan.

Sementara itu, Shahizan berkata, PDK menawarkan pengalaman pembacaan baharu kepada orang ramai dalam mengembalikan rasa ingin tahu terhadap pengetahuan dengan menggabungkan elemen ruangan kontemporari dan internet berkelajuan tinggi.

Katanya, PDK turut menawarkan satu juta bahan bacaan dalam koleksi e-book dengan yuran tahunan ahli cuma RM30.

"Bagi pelajar dan orang kurang upaya (OKU) serta warga emas, yuran tahunan hanya RM15, kanak-kanak (RM10), manakala warga asing atau pelancong adalah sebanyak RM50 setahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 6:16 PM