Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Petra Jaya: Sekalipun ada ura-ura menyatakan calon Parti Rakyat Bersatu (UPP) enggan keluar parti sebelum ini namun enam calon langsung Barisan Nasional (BN) dari parti itu termasuk presidennya Datuk Seri Wong Soon Koh mengambil tindakan meletakkan jawatan dan keluar dari parti terbabit, semalam.

Surat peletakan jawatan dan keluar dari UPP itu diserahkan kepada Setiausaha Agung UPP George Lo, semalam.

Peletakan jawatan dalam parti itu berkuat kuasa sebaik surat rasmi diserahkan selain ia menunjukkan komitmen calon terbabit memenuhi prasyarat yang ditetapkan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sebagai calon langsung mengikut perlembagaan BN.

Adenan dalam sidang media khas kelmarin menetapkan semua calon langsung BN perlu keluar dari parti masing-masing dan mereka hanya boleh memasuki mana-mana parti dalam komponen BN negeri sekiranya memenangi kerusi masing-masing.

Sebelum ini, UPP yang juga serpihan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ada mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sesekali tidak akan keluar dari parti hanya kerana ingin menjadi calon langsung BN.

Dalam kenyataan itu, ahli UPP disifatkan sebagai individu yang berpegang teguh kepada prinsip dan sekiranya meletakkan jawatan, ia dilihat sebagai mengkhianati sokongan dan kepercayaan individu yang bersama-sama menubuhkan parti mesra BN itu.

Bagaimanapun, dalam sidang media di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam, George Lo berkata, tindakan yang diambil calon langsung BN itu sebahagian daripada syarat sebagai calon langsung seperti yang ditetapkan dalam Perlembangaan BN.

“Semangat dan hati setiap calon masih kekal utuh bersama UPP. Kami akan bersatu dan memberi sepenuhnya sokongan kepada calon langsung BN bagi memastikan kemenangan kepada ‘Team Adenan’.

“Kami juga sudah terangkan mengenai situasi ini kepada ahli di setiap cawangan,” katanya.

George berkata, biarpun sudah kehilangan tonggak utama, UPP tidak akan dibubarkan sebaliknya terus bersatu menunjukkan sokongan terhadap BN.

“Jawatan yang sudah dilepaskan pemimpin sedia ada akan diambil alih jawatankuasa parti,” katanya yang turut mengharapkan Adenan akan memberikan tambahan dua kerusi untuk calon langsung BN dari UPP iaitu di Pelawan dan Meradong.

Sementara itu, Soon Koh ketika ditanya wartawan sama ada gembira dengan peletakan jawatan terbabit berkata, dia hanya mengikut arahan Adenan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 10:40 AM
Adenan memperkenalkan tujuh calon langsung BN. Dari kiri Dr Johnicol Rayong, Datuk Tiong Thai King, Datuk Pua Chong Ung, Datuk Seri Wong Soon Koh, Datuk Jerip Susil, Datuk Hii King Chong  dan Ranum Mina  di Wisma Bapa Malaysia, Kuching.
Adenan memperkenalkan tujuh calon langsung BN. Dari kiri Dr Johnicol Rayong, Datuk Tiong Thai King, Datuk Pua Chong Ung, Datuk Seri Wong Soon Koh, Datuk Jerip Susil, Datuk Hii King Chong dan Ranum Mina di Wisma Bapa Malaysia, Kuching.