TAJUDDIN  (tiga dari kiri)  ketika  Majlis Pelancaran Ar-Rahnu TEKUN di Shah Alam, semalam.
TAJUDDIN (tiga dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Ar-Rahnu TEKUN di Shah Alam, semalam.
Oleh Rafidah Mat Ruzki


Shah Alam: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional memperkenalkan satu lagi produk pembiayaan mikro kredit iaitu Ar-Rahnu TEKUN yang dilancarkan semalam.

Produk berkenaan dijangka mendapat sambutan dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pembiayaan jenis itu lebih mudah dan tidak memerlukan usahawan mengisi borang serta menunggu lama untuk mendapat wang diperlukan.

Katanya, pengenalan pembiayaan patuh syariah itu juga satu kelebihan berikutan semakin ramai masyarakat cenderung untuk membuat pinjaman berbentuk Islamik.

“Usahawan hanya perlu membawa emas ke premis Ar Rahnu TEKUN, emas itu dinilai dan mereka akan mendapatkan wang yang diperlukan.

“Ia adalah sejenis skim mikro kredit yang membantu usahawan kecil mendapatkan modal. Pada masa sama, ia juga boleh dibuat untuk keperluan lain seperti membayar yuran sekolah dan universiti atau melunaskan bil hospital,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ar Rahnu TEKUN di cawangan Shah Alam, di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Baharom Embi.

Sementara itu, Baharom berkata, TEKUN memperuntukkan RM10 juta untuk pembiayaan melalui Ar Rahnu TEKUN di empat cawangan yang akan dibuka tahun ini.

Katanya, selain Shah Alam, premis Ar Rahnu TEKUN akan dibuka di Wangsa Maju, Semenyih dan Klang tahun ini.

“Sepanjang 37 hari ia dimulakan di Shah Alam, kami sudah menerima 114 pelanggan dan memberi pembiayaan sebanyak RM230,000.

“Kami juga menawarkan kadar upah simpan paling rendah berbanding dengan bank lain iaitu 50 sen bagi setiap RM100 yang dipinjam.

“Pada masa sama, kami turut melihat peluang usahasama dengan syarikat perdagangan emas untuk membolehkan kami menjual emas di premis kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 6:51 AM