AHMAD Shabery (dua dari kiri) menyampaikan PPC kepada Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Masjid Tanah, Mohamed Nor Keling.
AHMAD Shabery (dua dari kiri) menyampaikan PPC kepada Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Masjid Tanah, Mohamed Nor Keling.
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Mekanisme untuk menggantikan pemberian subsidi beras ST 15 akan dimuktamadkan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.

Bagaimanapun, buat masa ini, cadangan diperhalusi dan dibawa ke Kabinet.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, cadangan mekanisme itu sudah ada, tetapi keputusan akhir bergantung kepada keputusan bersama antara kementeriannya, Kementerian Kewangan dan Kabinet sebelum diumumkan nanti.

“Saya harapkan dalam masa sebulan dua ini, kita akan buat keputusan. Kita sudah ada cadangan, tetapi keputusannya berdasarkan kepada keputusan bersama antara kementerian dan Kementerian Kewangan dan di peringkat Kabinet nanti,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan dan Majlis Pelancaran Produk Skim Pembiayaan Teman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Datuk Baharom Embi.

Minggu lalu, pada satu majlis di Kedah, Ahmad Shabery berkata, pihaknya mengkaji beberapa cadangan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah di bawah RM850 sebulan diberi bantuan khas dalam pembelian beras.

Katanya, kementerian juga mendapatkan maklumat daripada golongan sasar dalam program e-Kasih yang lebih berintegriti dalam usaha kerajaan membantu mereka, sekali gus tidak berlaku ketirisan.

Ditanya sama ada kementerian akan melihat isu ketirisan lain yang membabitkan baja dan benih padi, beliau berkata, ia turut diberi perhatian selepas ini.

Mengulas mengenai Skim Teman TEKUN, Ahmad Shabery berkata, ia diwujudkan bagi melahirkan lebih ramai ‘good paymaster entrepeneur’ dengan menekankan konsep tanggungjawab bersama sebagai jaminan mereka menggunakan pembiayaan dengan sebaiknya.

Katanya, ia berpotensi membantu dan membuka ruang lebih luas kepada usahawan kecil Bumiputera bagi memula dan mempertingkatkan perniagaan sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 5:53 AM